• Musim Sejuk Terpanas Dalam Sejarah Australia

    Published: Tuesday, 19 September 2017
    A- A+

    CANBERA: Australia mengalami musim sejuk paling panas pernah dicatatkan dalam sejarah dengan purata suhu dua darjah celsius, lapor agensi berita China Xinhua.

    Laporan Weird Winter Australia yang dikeluarkan Majlis Iklim pada Selasa mendapati, purata suhu maksimum di negara itu dari Jun hingga Ogos adalah 0.3 darjah Celsius lebih tinggi daripada rekod sebelumnya pada 2009.

    Pada Julai sahaja, sebanyak 72 rekod dipecahkan untuk suhu musim sejuk tertinggi termasuk di Sydney yang mencatatkan rekod 26.5 Celcius.

    “Purata suhu maksimum musim sejuk Australia ialah 23.7 Celcius, iaitu 1.9 Celsius melebihi purata pada 1961-1990,” kata saintis dari Majlis Iklim, David Alexander.

    Beliau berkata, negara itu juga mengalami cuaca paling kering dalam sejarah pada Jun dan musim sejuk sejak pada 2002.

    “Malangnya, musim sejuk di Australia akan menjadi lebih panas disebabkan perubahan iklim yang semakin teruk dan tahap pencemaran juga akan terus meningkat,” katanya.

    Majlis Iklim memberi amaran keadaan kering bermakna risiko kebakaran belukar adalah tinggi pada musim panas akan datang. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Musim Sejuk Terpanas Dalam Sejarah Australia "