• MU Sudah Sedia Gegarkan Liga Juara-Juara

    Published: Monday, 11 September 2017
    A- A+

    MANCHESTER, ENGLAND: Beliau pernah dua kali membuatkan Old Trafford terdiam dan sepi pada malam aksi Liga Juara-Juara namun ketika Manchester United kembali ke pertandingan itu tahun ini , tanggungjawab Jose Mourinho adalah untuk mengembalikan semula sorakan di stadium itu.

    Pada 2004, FC Porto kendaliannya secara mengejut menyingkirkan United pada pusingan kedua Liga Juara-Juara dan pada 2013 beliau kembali bersama Real Madrid untuk menamatkan penguasaan Alex Ferguson di Eropah.

    Pentas Liga Juara-Juara sentiasa menjadi pertandingan yang menyerlahkan bakat Mourinho dan beliau sendiri mula berbicara mengenai peluangnya melepasi rekod Ferguson selaku pengurus paling berpengalaman dalam pertandingan itu.

    “Saya sedar saya kini berada dalam kelompok lima atau enam teratas. Ia masih lagi jauh berbanding kedudukan nombor satu. Apapun saya akan berjuang untuk mencapai rekod itu.

    “Musim lalu, saya tidak berpeluang memburu rekod ini (United beraksi di Liga Europa) namun Manchester United sentiasa berada di tempat sepatutnya,” katanya merujuk kepada 133 perlawanan dihadapinya di Liga Juara-Juara berbanding Ferguson, 194 kali.

    “Aksi malam Liga Juara-Juara sentiasa menjadi detik yang cukup unik buat setiap orang. Saya memiliki beberapa pemain yang masih belum ada pengalaman hebat ini. Jadi saya fikir ia sesuatu yang baik buat mereka.”

    Awal pagi Rabu ini, Red Devils akan membuka tirai aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara dengan menerima kunjungan kelab Switzerland, FC Basel.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " MU Sudah Sedia Gegarkan Liga Juara-Juara "