• Mohon Siasat Individu Hina Islam

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    Dewan Pemuda PAS Kelantan hari ini membuat laporan polis ke atas tiga individu termasuk peguam Siti Kassim yang didakwa menghina Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, ulama dan Islam keseluruhan.

    Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada 10.30 pagi.

    Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi berkata, mahu pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan ke atas individu berkenaan.

    Turut dinamakan adalah David Orak dan Ronnie Liu yang juga pemimpin parti pembangkang.

    "Dewan Pemuda PAS Kelantan kesal dengan tindakan mereka. Tidak sepatutnya mereka menghina sedemikian sehingga mencemar Nabi dan Islam.

    "Dalam laman sosial Facebook pada 1, 7 dan 8 September lalu, Siti Kassim dan David Orak membuat kenyataan yang banyak menyimpang daripada Islam sebenar termasukpengorbanan yang dilakukan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail A.S.

    "Mereka juga mengelirukan orang ramai apabila menyatakan Nabi Ismail adalah anak luar nikah," katanya di Kota Bharu, hari ini.

    PAS turut mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga individu itu.

    Nor Azariza berkata, Ronnie Liu juga dikatakan menghina ulama dan agama Islam, malah turut memberi tohmahan buruk terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

    "Kenyataan yang menghina seperti "bertopengkan agama" dan lain-lain boleh membangkitkan rasa permusuhan antara agama dan mencetuskan ketegangan. Sebab itu kita mahu mereka diambil tindakan," katanya.

    Seramai 30 ahli Dewan Pemuda Pas Kelantan hadir sebagai tanda sokongan ketika laporan dibuat.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Mohon Siasat Individu Hina Islam "