• Mesin Pemotong Rumput Type R Ala FK8

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    Sempena sambutan ulang tahun ke-25 lencana 'Type R', Honda telah mengeluarkan mesin pemotong rumput ala model Honda Civic Type R edisi khas oleh Miimo robotics.

    Diinspirasikan daripada model tiga pintu Honda Type R FK8 2017, mesin pemotong rumput automatik ini diubahsuai mengikut bentuk FK8 daripada model asal mesin pemotong rumput Miimo yang merupakan salah satu produk dibawah syarikat Honda.

    Honda sering dijadikan bahan jenaka kerana bunyi ekzos yang dikeluarkan kenderaan berkenaan ketika 'VTEC dibuka' umpama mesin rumput, dan jenaka itu nampaknya diambil positif oleh Honda lantas mengeluarkan model mesin rumput berkenaan.

    Lengkap dengan hiasan lampu berserta 'grill' dibahagian depannya, Honda turut memuatkan spoiler dibahagian belakang sepertimana model terbaru Type R keluarannya dan badan mesin tersebut diselaputi kemasan cat putih mutiara.

    Apalah Type R tanpa logo merah 'H'? Mesin pemotong rumput Type R ini juga disertakan logo 'H' dibahagian depan dan belakangnya berserta logo 'Type R' dibahagian sisi.

    Ternyata, ianya bukanlah suatu gimik semata-mata. Mesin pemotong rumput Miimo ini benar-benar berfungsi dan 'menjalankan tugasnya' daripada kuasa dibekalkan oleh bateri lithium-ion.

    Pemilik boleh menanam sensor pengesan dikawasan sekeliling taman/padang dan mesin Miimo akan bergerak sendiri mengikut masa yang ditetapkan dan akan kembali ke 'port' charging setelah tugasnya selesai.

    Bukan penggemar kereta? Anda peminat motosikal? Miimo juga mengeluarkan mesin pemotong rumput edisi Honda CBR - divisi motosikal ikonik Honda Fireblade - berserta warna ikoniknya, tricolor.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Mesin Pemotong Rumput Type R Ala FK8 "