• Mengaku tak salah rempuh atlet berbasikal

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+

    KUALA SELANGOR: Pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang menyebabkan kemalangan membabitkan pegawai dan atlet berbasikal negara di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) pagi semalam, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

    Anuar Wahab, 46, yang memakai baju berkolar dan berseluar gelap minta dibicarakan di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam.

    Dia yang juga peniaga makanan, didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), memandu kenderaan dengan berbahaya kepada orang awam hingga mengakibatkan kemalangan jalan raya.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 12.5, Lebuhraya LATAR, dekat sini, kira-kira jam 10.45 pagi semalam.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodah V M Abdul Latif manakala tertuduh diwakili peguam M Saravanan.

    Abdul Jalil menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran manakala 16 Oktober ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Terdahulu, Mahmoodah menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 sebelum Saravanan memohon jumlah itu dikurangkan berikutan tertuduh mempunyai empat anak yang bersekolah manakala isteri tidak bekerja.

    Semalam, BH Online melaporkan lima orang termasuk dua atlet berbasikal para (paracyling) yang mempunyai prospek meraih pingat emas pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) cedera dirempuh ketika menjalani latihan.

    Atlet terbabit ialah Khairul Nizam Mohd Ali, 19, dan Mohd Khairul Hazwan Wahab, 25.

    Tiga mangsa lain ialah jurulatih mereka, Johari Nayan, 42, serta jurumudi Nor Rizuan Zainal, 31, dan Syafiq Suhaimy, 25. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mengaku tak salah rempuh atlet berbasikal "