• Maut Disyaki Digigit Labah-labah

    Published: Wednesday, 27 September 2017
    A- A+



    CAPPADOCIA - TURKI. Seorang rakyat Malaysia maut disyaki digigit labah-labah ketika bercuti di Turki.

    Pengarah IBC Tours Corporation Sdn Bhd, Mohammad Rizal Narusuddin berkata, Noor Azmeera Sahudin, 27 digigit labah-labah berkenaan ketika menaiki belon udara di Cappadocia pada 18 September lepas.

    "Mangsa tidak menyedari dirinya digigit dan hanya mengatakan mengalami gatal-gatal," kata Mohammad Rizal kepada South China Morning Post.

    Katanya, mangsa memberitahu mengalami kesakitan di bahagian kaki tiga hari kemudian dan pemandu pelancong membawanya ke hospital di Bursa.

    "Mangsa diberikan antibiotik. Beliau kemudian dimasukkan ke Istanbul General Hospital selepas memberitahu pinggangnya sakit.

    "Kami mendapat tahu berita kematian mangsa pada jam 9 malam (waktu tempatan) semalam," kata Mohammad Rizal lagi.

    Mohammad Rizal juga memberitahu doktor mengesahkan mangsa digigit di bahagian kaki dan racun telah merebak ke bahagian pinggang.

    Tambah beliau, ahli keluarga mangsa mahu mengebumikan Noor Azmeera di Istanbul sambil dibantu oleh kedutaan Malaysia dan lembaga pelancongan.

    Subjects:

  • No Comment to " Maut Disyaki Digigit Labah-labah "