• Maut Dirempuh Lori Selepas Tergelincir Langgar Tumpahan Minyak

    Published: Monday, 11 September 2017
    A- A+

    AMPANG: Tergelincir jatuh akibat melanggar tumpahan minyak menjadi punca seorang penunggang motosikal maut apabila dirempuh lori satu tan di Jalan Klang Gate menghala ke Taman Melawati, di sini, semalam.

    Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Zamri Mat Rani, 48, yang menetap di Kampung Sungai ChinChin, Gombak disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

    Jurucakap Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.19 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setibanya enam anggota di lokasi kejadian didapati kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal dan pembonceng.

    “Mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum jatuh dan dilanggar lori. Bagaimanapun pembonceng yang juga anak lelaki penunggang motosikal berusia 17 tahun terselamat dan hanya patah bahu kanan,” katanya.

    Menurutnya, punca kemalangan itu berlaku akibat kesan tumpahan minyak sepanjang 200 meter di laluan itu.

    “Anggota bomba segera memberikan bantuan dengan menyimbah air ke atas jalan bagi membersihkan kesan tumpahan minyak di laluan itu.

    “Pasukan BBP Setapak turut hadir memberikan bantuan membersihkan minyak di atas jalan,” katanya.

    Dia berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Hussin berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Maut Dirempuh Lori Selepas Tergelincir Langgar Tumpahan Minyak "