• Masalah Barcelona Selesai Jika Messi Tandatangan Kontrak Baharu

    Published: Monday, 11 September 2017
    A- A+

    BARCELONA: Kemenangan 5-0 mengatasi kelab jiran, dibantu pembelian bernilai 105 juta euro (RM530 juta) bagi mendapatkan Ousmane Dembele dan empat mata di tangga teratas La Liga mengatasi Real Madrid mungkin boleh memberikan sedikit kelegaan buat ahli lembaga pengarah Barcelona.

    Bagaimanapun tidak lama selepas keraian jaringan Luis Suarez yang menerima hantaran silang Dembele pada minit terakhir mengatasi Espanyol, gesaan supaya presiden Josep Maria Bartomeu meletak jawatan kedengaran di Nou Camp.

    Pada pandangan penyokong, Bartomeu tidak seharusnya bergembira dengan persembahan pemain kerana mereka terbabit dalam konflik terbuka di bilik persalinan ketika musim panas yang berserabut berikutan pemergian Neymar ke Paris Saint-Germain.

    Kunjungan Juventus bagi saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini boleh menawarkan peluang untuk membina permulaan baru seterusnya membalas dendam kekalahan pada suku akhir di tangan juara Itali itu musim lalu.

    Begitupun, perjuangan untuk menguasai kelab antara penyokong, pemain dan presiden berterusan.

    Malah selepas pertemuan Sabtu lalu, penyokong beramai-ramai menandatangani undi tidak percaya yang dilancarkan bekas calon presiden Agusti Benedito.

    Di sebalik semua masalah di luar padang Barca, di tengah padang mereka masih boleh bergantung harap kepada Lionel Messi bagi menangani masalah paling besar.

    Pemain Terbaik Dunia lima kali itu meledak hatrik hujung minggu lalu untuk menambah jaringannya kepada enam setakat ini musim ini.

    Bagaimanapun cara Bartomeu menangani masa depan Messi menjadi satu lagi kayu pengukur buatnya untuk mengatasi tekanan ahli lembaga pengarah kelab.

    Barca mengumumkan persetujuan dengan Messi untuk menyambung kontraknya hingga 2021 pada 5 Julai lalu.

    Namun bintang Argentina yang akan tamat kontrak semasanya hujung musim ini, masih belum menandatangani kontrak baru itu sekalipun Bartomeu menegaskan hanya menunggu masa sesuai.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Masalah Barcelona Selesai Jika Messi Tandatangan Kontrak Baharu "