• Marawi: Pemimpin militan Abdullah Maute disahkan mati

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+
    Foto FMT
    KOTA KINABALU: Pemimpin militan Abdullah Maute yang dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) disahkan mati, menurut lapor media Filipina.

    Ketua angkatan tentera Filipina Eduardo Ano dilaporkan berkata pengasas bersama kumpulan Maute, yang mengisytiharkan kesetiaan kepada IS, disahkan terbunuh.

    Menurut Malaya Business Insight, Ano berkata kematian Abdullah dan dua ahli keluarganya, Maddie dan Otto, disahkan oleh keterangan seorang anggota Maute yang menyerah diri dan 3 militan lain yang ditangkap.

    Bagaimanapun, Ano tidak menyatakan keadaan yang membawa kepada kematian mereka, walaupun laporan terdahulu yang belum disahkan berkata Abdullah terbunuh dalam serangan udara bulan lepas.

    “Berdasarkan kepada keterangan daripada militan yang ditahan dan menyerah diri, hanya seorang ahli keluarganya, Omar Maute, yang masih hidup. Abdullah, Maddie dan Otto dilaporkan terbunuh. Ada adik-beradik Maute lain tidak terkenal berada dalam bandar Marawai tetapi mereka tidak cukup signifikan pada pandangan kami,” kata Ano.

    Ditanya sama ada kematian ahli keluarga Maute itu disahkan, Ano menjawab: “Ya, saya percaya,” lapor Malaya Business Insight.

    “Sekarang ini tinggal 2 kumpulan utama di Marawi. Satu diketuai Isnilon Hapilon dan kebanyakannya anggotanya dari Basilan dan satu lagi diketuai Omar Maute,” katanya.

    Akhbar Philippine Daily Inquirer juga melaporkan Ono mengesahkan kematian Abdullah.

    Sementara itu, Esscom belum menerima pengesahan kematian Abdullah daripada rakan sejawat di Filipina, kata Komander Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi FMT.

    “Pasukan keselamatan Filipina menjangkakan menawan bandar itu tidak lama lagi,” katanya.

    Abdullah, yang mengasaskan kumpulan Maute bersama Omar, dikehendaki Esscom untuk jenayah yang dilakukan merentasi sempadan.

    Isnilon dilantik emir oleh IS bagi rantau Asia Tenggara dan kumpulan Abu Sayyaf yang bertempur dengan kerajaana Filipina bersama Maute. Isnilon juga dalam senarai orang dikehendaki Esscom.

    Dilaporkan kawasan bandar Marawi yang perlu ditawan pihak berkuasa hanya berbaki 10ha sahaja lagi ketika tentera sedang menjalankan gerak gempur terakhir untuk menawan bandar itu.

    Serangan hebat pasukan berkuasa dikhuatiri menyebabkan militan melarikan diri ke kawasan lain termasuk pantai timur Sabah.

    Esscom meningkatkan kewaspadaan menghadapi militan yang cuba melarikan diri.

    Ano dilaporkan berkata terdapat 10 militan asing kebanyakannya Malaysia dan Indonesia masih berkubu di Marawi.

    Angka itu dipercayai termasuk militan Malaysia paling dikehendaki, Mahmud Ahmad, yang menurut Ano mengatur kiriman jutaan peso dari IS untuk membiayai serangan di Marawi. - FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Marawi: Pemimpin militan Abdullah Maute disahkan mati "