• Mangsa Culik RM3j Ditemui Selamat

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+

    IPOH: Pelajar yang diculik di Taiping, awal bulan ini, ditemui dalam keadaan selamat di Butterworth, Pulau Pinang, lima hari selepas kejadian.

    Pelajar itu ditemui dalam keadaan mata tertutup dan tangan terikat di tempat duduk belakang kereta Myvi, susulan penahanan lapan suspek di sekitar Johor Bahru.

    Polis turut menahan dua suspek yang berada di dalam kereta Myvi dan menahan dua lagi suspek keesokan harinya.

    Semua 12 suspek, termasuk tiga wanita tu berusia antara 17 tahun dan 36 tahun.

    Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata polis turut menemui wang tunai berjumlah RM175,400 di dua lokasi berasingan di Johor Bahru dan masih mengesan baki wang tebusan, yang dipercayai sudah dibahagikan sesama suspek.

    Katanya, sindiket penculikan itu pada awalnya meminta tebusan sebanyak RM3 juta, namun dikurangkan kepada RM300,000 atas kebijaksanaan berunding oleh bapa mangsa.

    "Remaja lelaki itu diculik di Taiping kira-kira jam 8 malam pada 2 September lalu sebelum disembunyikan di Butterworth, Pulau Pinang.

    "Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 3.30 petang keesokan harinya di Taiping memberitahu penculik menuntut wang tebusan dan mengugut untuk mencederakan atau membunuh mangsa jika tuntutan itu tidak dipenuhi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

    Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan sehingga 6 September, bapa mangsa yang juga peniaga barangan terpakai berusia 43 tahun menerima 10 panggilan telefon daripada suspek.

    Hasnan berkata, polis menubuhkan satu pasukan siasatan khas sebelum suspek menghubungi bapa mangsa pada jam 8.30 pagi 5 September mengarahkannya ke Johor Bahru untuk menyerahkan wang tebusan.

    Katanya, selepas wang tebusan diserahkan, polis membuat enam serbuan di beberapa lokasi di Johor Bahru, kira-kira jam 10 malam dan menahan lapan suspek.

    Pada masa sama, polis menyelamatkan mangsa di Butterworth dan menahan dua suspek yang berada dalam kenderaan itu serta dua lagi suspek keesokan hari.

    Hasnan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961, yang membawa kepada hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

    Katanya, lima suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis, kelmarin manakala tujuh lagi direman serta menunggu arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Mangsa Culik RM3j Ditemui Selamat "