• Manfaat Hubungan Baik Malaysia Dengan Dunia Luar, Kata Najib

    Published: Sunday, 10 September 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia perlu memanfaatkan hubungan baik dengan negara luar, dan tidak menjadi katak di bawah tempurung' serta enggan bekerjasama dengan negara lain.

    Beliau berkata kemasukan pelaburan asing banyak membantu pertumbuhan ekonomi negara di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, dan ini nyata telah menunjukkan keyakinan dunia antarabangsa terhadap pentadbiran negara.

    Najib berharap lawatan kerja beliau ke Amerika Syarikat, berjalan lancar serta membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua negara.

    "Hakikatnya, kita tidak boleh menjadi negara yang bagaikan katak di bawah tempurung, tidak mahu berkerjasama dengan dunia luar, terpedaya dengan dakyah-dakyah yang menuduh bahawa kemasukan pelaburan asing itu boleh disamakan dengan menjual kedaulatan negara.

    "Janganlah kita nafikan manfaat yang boleh diterima rakyat hasil daripada hubungan baik kerajaan dengan negara-negara luar," katanya dalam blog najibrazak.com.

    Menurut Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini mencipta sejarah dengan merekodkan kenaikan 24.3 peratus dalam sektor perdagangan kepada RM430.5 bilion pada suku pertama 2017 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    Dan, Mac lepas, eksport negara mencecah RM82.63 bilion, angka bulanan tertinggi yang pernah dicapai bagi eksport Malaysia.

    "Pencapaian ini bukanlah terjadi sekelip mata. Tetapi ia adalah hasil usaha, kerja keras dan titik peluh kerajaan dalam menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara lain," kata Najib.

    Beliau memberi contoh hubungan baik dengan China, menyumbang hasil seperti kelulusan mengeksport semula sarang burung mentah ke sana yang telah memanfaatkan kira-kira 10,000 petani serta penambahan pembelian minyak sawit dari Malaysia.

    Kerajaan juga berjaya membuka pintu kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk bekerjasama dengan syarikat dari China dengan menandatangani Memorandum Persefahaman dengan nilai lebih daripada RM175 bilion hasil lawatan beliau pada 2016 dan 2017.

    Begitu juga dengan India, dengan syarikat-syarikat Malaysia aktif membida projek-projek pembangunan di sana serta menandatangani Memorandum Persefahaman bernilai lebih RM158 bilion semasa lawatan beliau ke sana pada April lepas.

    "Pendekatan kita yang mengetengahkan kesederhanaan juga membuatkan Malaysia diterima baik di negara-negara lain seperti Jepun, Indonesia, Arab Saudi dan Jerman, dan kerjasama dan hubungan baik ini ternyata telah menguntungkan negara," kata Najib.

    Perjanjian dengan Aramco membawa pelaburan sebanyak RM31 bilion dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun mengukuhkan lagi hubungan, dengan Malaysia menjadi rakan dagang keempat terbesar Jepun pada 2016.

    Kedudukan Malaysia dalam ASEAN juga banyak menguntungkan negara dengan Malaysia memperoleh kerjasama strategik, contohnya dengan Indonesia dalam meningkatkan kerjasama dalam sektor kelapa sawit bagi menghadapi kempen antisawit yang dilancarkan Kesatuan Eropah.

    Menerusi blog tersebut, Najib juga menegaskan bahawa pemimpin pembangkang sendiri menyedari pentingnya pelaburan asing untuk kesejahteraan ekonomi, dan justeru itu mereka juga giat ke luar negara.

    "Kalau diikutkan ada pemimpin terdahulu yang kini sering menggunakan retorik 'jual negara' tetapi secara realitinya, banyak pinjaman daripada negara luar yang telah dibuat semasa zamannya.

    "Adakah ini bermakna kita telah menjual kedaulatan negara apabila menerima pinjaman pembangunan daripada Jepun sebanyak 61.5 bilion yen untuk membina Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pada 1994?

    "Tidak sama sekali! Oleh itu, saya harap masyarakat kita tidak termakan dengan politik kotor yang tidak objektif dan bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia. Ini hanya akan merugikan kita."

    Menurut Perdana Menteri usaha untuk menjalin hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi dengan negara luar ini akan diteruskan, malah lebih komited dalam membawa harapan serta kepentingan rakyat Malaysia di mata dunia. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Manfaat Hubungan Baik Malaysia Dengan Dunia Luar, Kata Najib "