• Malaysia tak cadang sekat WhatsApp - Jailani Johari

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+
    Foto Intan Nur Elliyana Zakeria


    SHAH ALAM: Malaysia belum bercadang menyekat penggunaan aplikasi WhatsApp biarpun China sudah memulakan langkah itu.

    Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata ia berikutan undang-undang sedia ada di negara ini sudah mencukupi bagi mengawal ketenteraman awam termasuk berkaitan media sosial.

    "Kita setakat ini belum mempunyai cadangan itu. Kes penyalahgunaan aplikasi Whatsapp di negara ini masih berada dalam keadaan terkawal

    "Bagi kita, peraturan atau undang-undang sedia ada di Malaysia ketika ini sudah mencukupi untuk mengawal ketenteraman awam, ketertiban umum dan keselamatan negara. Berdasarkan statistik, tiada kes penyalahgunaan WhatsApp direkodkan antara 2013 hingga 2015. Pada 2016 dan tahun ini, hanya ada 25 dan 27 kes.

    "Kita mengakui kes berkaitan media sosial termasuk aplikasi itu turut mempunyai kekangan kerana pangkalan datanya berada di luar negara namun kita berjaya berusaha sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Media Kebangsaan: Cabaran Kewartawanan dan Media Dalam Era Industri 4.0 di Hotel Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

    Forum kali keempat anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) itu membincangkan pelbagai isu berkaitan media sama ada konvensional atau era digital untuk menghasilkan rumusan terbaik perancangan pada masa depan.

    Ia merangkumi pembentangan tiga topik diskusi iaitu 'Revolusi Industri 4.0 dan Impak kepada Profesion Kewartawanan'; 'Membina Keyakinan Media pada Era Pasca Kebenaran' dan 'Transformasi Nasional 50: Dimanakah Media Kita'.

    Selain lebih 100 pengamal media, ahli akademik serta panel diskusi, forum sehari itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid sebagai moderator.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan China akan menyekat aplikasi itu terutama fungsi penghantaran video dan mesej suara bersempena perhimpunan Parti Komunis pada bulan depan.

    Namun, negara itu masih membenarkan operasi aplikasi Wechat yang diketahui mempunyai kekurangan ciri keselamatan dan dioperasikan oleh syarikat China, Tencent di Shenzen.

    Pada masa sama, Jailani meminta semua pengguna yang menggunakan aplikasi WhatsApp supaya lebih berwaspada untuk menyiarkan sebarang berita terutama di media sosial.

    Sementara itu, Jailani berkata, media yang peka dan bertanggungjawab tidak akan memberi sebarang liputan kepada kumpulan pelampau dan kegiatan mereka.

    "Pelampau mengharapkan liputan media apabila mereka melakukan serangan atau pembunuhan kejam. Satu saluran media bertanggungjawab tidak akan melakukannya dengan memberi publisiti kepada mereka. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia tak cadang sekat WhatsApp - Jailani Johari "