• Malaysia Negara Islam Yang Dihargai

    Published: Wednesday, 13 September 2017
    A- A+

    Perdana Menteri telah mengadakan lawatan ke atas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Washington semalam.

    Lawatan ini memberikan satu lagi kedudukan tinggi kepada Kerajaan Malaysia dalam mengukuhkan hubungan antarabangsa dengan kuasa-kuasa besar dunia.

    Malaysia yang lebih selesa memainkan peranan sebagai sebuah negara neutral berjaya menjadi rakan yang baik kepada negara-negara utama seperti AS dan China.

    Walaupun bukan sebuah negara yang besar, namun situasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam moderat amat disenangi oleh negara-negara lain.

    Keunikan Malaysia diurus dalam kepelbagaian demografik dan struktur masyarakat juga membuktikan dasar-dasar inklusif negara diterima sebagai tunjang kekuatan negara ini oleh kuasa-kuasa besar dunia. 

    Seperti juga ketika mengadakan lawatan ke China, lawatan ke AS ini sudah pasti bakal memberikan pulangan ekonomi yang istimewa buat Malaysia.

    Selain itu, kepentingan AS sebagai rakan strategik dalam hal-hal keselamatan juga menjadi di antara titik terpenting dalam perbincangan yang digerakkan melalui lawatan ini.

    Komitmen Malaysia yang tegas dan secara berterusan menentang kumpulan-kumpulan pengganas jelas menerima penghargaan daripada Kerajaan AS.

    Ini dibuktikan menerusi kenyataan Trump yang menganggap Malaysia sebagai sebuah negara yang komited memerangi kumpulan pengganas.

    Walaupun pihak pembangkang cuba mencemari lawatan ini dengan mengaitkan isu 1MDB dan siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Keadilan AS (DOJ), namun pihak Rumah Putih awal-awal lagi menyatakan bahawa agenda lawatan ini tidak akan sama sekali menyentuh siasatan yang sedang dijalankan oleh DOJ.

    Keadaan ini sekaligus menepis dakwaan dan sangkaan buruk yang dibuat tanpa asas oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Sambutan yang diberikan kepada delegasi Malaysia semasa tiba di Rumah Putih juga membuktikan lawatan Perdana Menteri ini amat dialu-alukan.

    AS memiliki sistem perundangan dan pentadbiran yang kukuh dan cukup demokratik, justeru siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak perundangan seperti DOJ tidak akan dicampuri oleh pihak eksekutif atau pentadbiran seperti di Rumah Putih.

    Lawatan ke AS ini juga bukan dibuat secara sengaja, tetapi atas jemputan Trump sendiri sebagai menghargai usia 60 tahun hubungan erat dua hala kedua-dua buah negara.

    Perdana Menteri secara peribadi juga jelas membuktikan bahawa beliau merupakan antara Perdana Menteri Malaysia yang berjaya mewujudkan visibiliti dalam arena hubungan antarabangsa.

    Penglibatan aktif dalam forum-forum utama dunia dan mesyuarat-mesyuarat organisasi antarabangsa juga meletakkan kedudukan Malaysia pada tahap yang lebih tinggi.

    Pengukuhan hubungan bercorak multilateral dan bilateral ini amat penting untuk Malaysia menghadapi arus cabaran globalisasi yang kian deras dan mencabar.

    Sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan prinsip kesederhanaan, Kerajaan berjaya mewujudkan perasaan mesra dalam hubungannya dengan negara-negara lain di seluruh dunia, khasnya negara-negara bukan Islam.

    Sehubungan itu, amat penting untuk Malaysia terus wujud sebagai sebuah negara Islam sederhana dan kestabilan dalam kerangka seperti ini wajar dikekalkan. - MalaysiaAccess

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Negara Islam Yang Dihargai "