• Malaysia Bimbang Rohingya Mangsa Pemerdagangan

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA – Malaysia bimbang bahawa lebih 400,000 etnik Rohingya yang sekarang mencari perlindungan di Bangladesh berikutan pergolakan di wilayah Rakhine kemungkinan menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

    Ketika berucap pada mesyuarat peringkat tinggi mengenai pemerdagagan orang di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Khamis (28 Sept), Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia dengan ini menggesa sekeras-kerasnya Myanmar untuk mengambil perhatian terhadap desakan yang diulangi oleh komuniti antarabangasa bagi menamatkan keganasan ke atas minoriti Rohingya.

    “Sindiket jenayah rentas sempadan akan mengambil kesempatan daripada kesengsaraan manusia berdasarkan situasi yang buruk,” kata beliau pada mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB mengenai pelan tindakan global PBB membanteras pemerdagangan orang.

    Dalam ucapannya, Anifah berkata Malaysia berdiri teguh bersama-sama masyarakat antarabangsa dalam usaha menangani pemerdagangan manusia yang menimbulkan kesengsaraan.

    “Malaysia mengutuk jenayah kejam ini dan memberi keutamaan yang tinggi bagi membanteras pemerdagangan orang,” kata beliau.

    Beliau berkata Malaysia bukan sahaja menjadi negara transit dan destinasi bagi mangsa pemerdagangan orang tetapi rakyatnya juga menjadi sasaran.

    Sebagai tindak balas, Malaysia telah memperkenalkan undang-undang negara yang mencukupi, terutama Kanun Keseksaan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, kata beliau.

    “Hasil pelaksanaan undang-undang dan akta berkenaan, sabitan telah meningkat dengan ketara,” kata Anifah.

    Malaysia juga telah menubuhkan Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) 2007, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kata beliau.

    Beliau juga berkata usaha Malaysia adalah berpandukan oleh Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Anti Pemerdagangan Orang (2016-2020), yang selaras dengan Pelan Tindakan Global 2010.

    Anifah berkata berdasarkan rekod Malaysia, majoriti mangsa pemeredagangan manusia ialah dari negara-negara jiran.

    Dalam hal ini, Malaysia memberi keutamaan yang tinggi kepada kesepakatan ke arah kerjasama dua hala dan serantau bagi memerangi jenayah rentas sempadan, kata beliau.

    Malaysia pada 7 September tahun ini (2017) telah mengesahkan Konvensyen ASEAN Memerangi Pemerdagangan Orang, Terutama Wanita dan Kanak-kanak (ACTIP) 2015, kata beliau.

    Malaysia juga ialah anggota aktif Proses Bali mengenai Penyeludupan Manusia, Pemerdagangan Orang dan Jenayah Rentas Sempadan Berkaitan – mekanisme dan peraturan serantau untuk memerangi gejala itu, kata beliau.

    “Malaysia berazam untuk mendakwa pelaku jenayah itu dan memberikan perlindungan kepada mangsa berdasarkan langkah-langkah yang telah diambil,” kata Anifah.

    “Kami berpegang kepada pendekatan komprehensif dengan memberi penekanan kepada pencegahan terutama menangani punca masalah itu di negara-negara sumber,” kata beliau.

    Anifah berkata penyelesaian kepada isu pemerdagangan orang memerlukan usaha kolektif oleh pihak-pihak berkepentingan peringkat negara dan bukan negara.

    Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia berpendapat bahawa langkah-langkah yang digariskan dalam Deklarasi Politik menjadi asas yang sangat baik dalam menggerakkan usaha ke arah itu.

    Perhimpunan Agung PBB pada Rabu meluluskan deklarasi politik yang menegaskan komitmen untuk melaksanakan pelan tindakan untuk memerangi pemerdagangan manusia. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Bimbang Rohingya Mangsa Pemerdagangan "