• Lukisan Grafiti Mampu Beri Pulangan Lumayan

    Published: Monday, 11 September 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Seni lukisan grafiti yang sering dipandang negatif dan dianggap sebagai satu aktiviti ‘Underground’ memaparkan contengan bersifat vandalisme semata-mata, sebenarnya mampu memberikan pendapatan lumayan jika diketengahkan sebagai platform ekonomi baharu.

    Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata seni lukisan grafiti mempunyai nilai tinggi dan seharusnya dimanfaatkan oleh golongan yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

    Beliau berkata beberapa negara maju sudah lama menjadikannya sebagai satu cabang pendapatan dalam industri kreatif terutama melibatkan Generasi Y.
    “Ramai anak muda di negara ini memiliki minat serta kepakaran dalam bidang seni kreatif, dan sekiranya bakat dimiliki itu diasah serta digunakan padai saluran yang betul ia mampu menjadi lubuk rezeki kepada mereka.

    “Sebagai contoh terdapat beberapa pelukis grafiti tempatan ditawarkan peluang di Dubai dan dibayar harga lumayan untuk menghasilkan karya grafiti ‘masterpiece’ mereka di beberapa lokasi tumpuan pelancong di kota mewah itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini

    Mohamed Najib ditemui selepas hadir menyaksikan Pertandingan Grafiti Antabax Power 2017 di perkarangan Balai Seni Negara.

    Beliau berkata penubuhan Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak 6 Sept lalu beserta peruntukan awal sebanyak RM20 juta seharusnya melonjakkan semangat penggiat industri dalam bidang kreatif seperti pelukis grafiti.

    “Kita nampak kerajaan serius dalam memperkasa dan mengetengahkan bidang ini dan diharap mereka yang berada dalam lapangan berkenaan memanfaatkannya sebaik mungkin sebagai usahawan.

    “Seni grafiti kini bukan lagi sekadar hiasan jalanan, ia seharusnya dijadikan satu kerjaya dalam industri kreatif,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Lukisan Grafiti Mampu Beri Pulangan Lumayan "