• Li Chunrong Sasar `Kepuasan Pelanggan’

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+

    SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif Proton Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB), Dr. Li Chunrong berkata, strategi utama yang dipegangnya untuk membawa kereta Proton ke zaman kegemilangan ialah melalui `kepuasan pelanggan’.

    Chunrong, 52, memiliki 30 tahun pengalaman dalam industri automotif merangkumi syarikat automotif Honda, Kia dan Dongfeng, akan memulakan tugasnya berkuat kuasa 1 Oktober ini.


    “Saya telah dicalonkan oleh DRB-Hicom dan Geely Holding untuk memulihkan Proton dan saya percaya jenama kereta Malaysia ini tidak lama lagi akan menjadi jenama domestik nombor satu, dan antara tiga jenama terbaik di ASEAN.


    “Untuk mencapai wawasan ini, Proton kini memiliki akses kepada sinergi global, kepakaran dan sokongan kewangan yang diperlukan daripada Kumpulan Geely. Saya berkeyakinan penuh PONSB akan meraih masa depan yang baik.


    “Bila ditanya apa strategi utama saya? Jawapan saya ialah mencapai `kepuasan pelanggan’ menerusi produk kereta yang mereka mahukan,” katanya pada sidang akhbar bersama DRB-Hicom dan Geely di sini hari ini.


    Dr. Li bakal bertanggungjawab terhadap keseluruhan operasi PONSB, membabitkan pengeluaran, pembuatan, operasi, kualiti dan, penyelidikan dan pembangunan, serta penjualan dan pemasaran.


    Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif sedia ada, Datuk Radzaif Mohammed akan kekal bersama Dr. Li mengetuai pelan pemulihan untuk PONSB.


    Dr. Li menggantikan tempat Datuk Ahmad Fuaad Kenali yang bakal mengambil alih jawatan CEO Malakof.


    PONSB merupakan syarikat di dalam Kumpulan Proton Holdings Berhad, yang ditubuhkan khusus bagi pengurusan baharu PONSB di bawah pakatan strategik Proton dengan Zhejiang Geely Holdings yang membeli 49.9 peratus saham DRB-Hicom di dalam Proton pada 23 Jun lalu. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Li Chunrong Sasar `Kepuasan Pelanggan’ "