• Letupan Nuklear Korea Utara Menyamai 250 Kilotan

    Published: Wednesday, 13 September 2017
    A- A+


    SEOUL: Ujian nuklear terbaru Korea Utara kemungkinan menghasilkan letupan 250 kilotan, lebih tinggi berbanding anggaran rasmi, kata kumpulan pemerhati Amerika Syarikat (AS) hari ini.

    Pyongyang yang mengadakan ujian nuklear keenam dan terbesar minggu lalu, berkata ia adalah bom hidrogen yang boleh dimuatkan ke dalam peluru berpandu, mencetuskan kecaman antarabangsa dan meningkatkan ketegangan berhubung cita-cita nuklearnya.

    Perkhidmatan Geologi AS (USGS) meletakkan ukuran yang menyebabkan gempa bumi itu pada 6.3 dan Pertubuhan Perjanjian larangan Ujian Menyeluruh Nuklear (CTBTO) dan agensi Norway, NORSAR, meletakkan ukuran awal pada 6.1.

    Berikutan keputusan itu, laman web AS, 38 North, yang dikaitkan dengan Universiti Johns Hopkins, berkata ia menaikkan anggaran hasil letupan itu kepada 250 kilotan.

    Ia adalah 16 kali lebih besar berbanding saiz bom 15 kilotan yang memusnahkan Hiroshima pada 1945.

    Anggaran kerajaan bagi hasil letupan itu berbeza daripada Korea Selatan iaitu 50 kilotan dan Jepun dengan 160 kilotan.

    Pegawai AS berkata, mereka masih menilai sama ada ia adalah bom-H, juga dikenali sebagai senjata termonuklear, tetapi setakat ini tiada yang tidak konsisten dengan dakwaan Korea Utara ia adalah bom hidrogen. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Letupan Nuklear Korea Utara Menyamai 250 Kilotan "