• Lepas 10 Hari Nikah, Ajal Jemput Bertemu Pencipta

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+

    Seperti yang kita ketahui setiap makhluk yang bernafas pasti akan melewati kematian. Kematian merupakan sebuah pintu menuju kepada Sang Pencipta.

    Masih ingat berita penyatuan cinta antara wanita mualaf, Andrea Adriana Law Abdullah dengan jejaka idamannya, Alfian Rizal yang merupakan pengidap kanser tahap empat baru-baru ini?

    Pengantin baharu yang menghidap kanser tahap empat tersebut kini telah menemui ajal selepas 10 hari melewati saat indah pernikahannya.

    Allahyarham Alfian menghembuskan nafas terakhir di samping isteri dan kedua-dua ibu bapa di kediaman keluarganya, di Melaka Perdana Resort Homes, Ayer Keroh, Melaka, kira-kira jam 5 petang Isnin lalu.

    Jenazah Allahyarham kemudian telah dibawa pulang ke kampung halaman ibunya, Aishah Selamat di Parit Yaani Tengah, Batu Pahat, Johor untuk disemadikan.

    Lebih 50 orang sahabat termasuk saudara-mara dan jiran tetangga menghadiri majlis pengebumian bagi memberi tanda penghormatan terakhir buat arwah.

    Bapa Alfian, Rizal Abdullah berkata arwah pernah berpesan agar jenazahnya itu dikebumikan di kampung halaman dan urusan itu mahu diuruskan oleh bapa saudaranya, Sulaiman Jantan.

    “Arwah memang rapat dengan bapa saudaranya dan dia sudah berpesan awal jika apa-apa yang berlaku ke atas dirinya, dia mahu dikebumikan di sana (kampung) dan diuruskan Cik Man (Sulaiman).

    “Jadi, kami akur dengan pesanan terakhirnya untuk dikebumikan di sana. Alhamdulillah dia (arwah) pergi dengan tenang.

    “Sebenarnya dalam hati saya ada terdetik yang arwah akan pergi meninggalkan kami hari ini dan saya reda dengan ketentuan Allah,” kata Rizal.

    Bagaimanapun, Rizal dan Isteri mengatakan meraka menerima dan redha sahaja dengan ketentuan Ilahi yang lebih menyayangi anak tunggalnya itu.

    Selain bersyukur kerana impian anaknya untuk bernikah dengan Andrea dimakbulkan Allah.

    Alfian dan Andrea telah dinikahkan oleh Ketua Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Majlis Agama Islam Melaka, Mohd Shokri Mustaffa, pada 26 Ogos yang lalu dengan mas kahwin bernilai RM100.

    Hmmm… Sesungguhnya mati itu adalah pasti. Jika telah ditakdirkan kita menemui ajal, ia pastinya tidak akan lewat atau cepat walaupun sesaat. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura

    Subjects:

  • No Comment to " Lepas 10 Hari Nikah, Ajal Jemput Bertemu Pencipta "