• Lelaki Diberi Kaunseling Pakai Seluar Futsal

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+

    KOTA BHARU: Seorang lelaki telah diarahkan untuk menghadiri sesi kaunseling selepas dia ‘dicekup’ memakai seluar futsal yang pendek di tempat awam.

    Menurut Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik), salah seorang pegawainya telah mengeluarkan notis kepada lelaki itu selepas dia ditahan kerana memakai “pakaian kurang sopan” semasa membeli burger di sebuah gerai pada malam Isnin lalu.

    Sebuah laman portal berita sebelum ini melaporkan bahawa lelaki berkenaan, yang dikenali sebagai Wan Khairul Hayyee Wali, 30, baru sahaja selesai perlawanan futsal dan masih memakai pakaian bersukannya semasa dia ditahan oleh pegawai pejabat agama itu.

    Penguatkuasa Jaheik tersebut kemudiannya memberitahu bahawa dia telah melanggar salah satu undang-undang dalam Enakmen Jenayah Syariah iaitu mendedahkan lututnya, sekali gus mempamerkan ‘aurat’.

    Namun, Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jaheik, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, Wan Khairul tidak akan ditahan jika dia sedang memakai seluar pendek itu di pusat futsal.

    Kata Mohd Fadzuli lagi, undang-undang itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana telah diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu.

    “Ini bukanlah kes pertama. Sebelum ini kami pernah mengeluarkan notis yang sama kepada tiga lelaki lain dengan kesalahan yang sama.

    “Ketiga-tiganya telah menjalani sesi kaunseling. Yang keempat ini juga berjanji untuk menghadiri sesi tersebut tidak lama lagi,” katanya.

    Difahamkan, undang-undang itu hanya termaktub kepada orang Islam sahaja dan sesiapa yang menghadiri sesi kaunseling itu tidak perlu membayar denda atas kesalahan yang dilakukan. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Diberi Kaunseling Pakai Seluar Futsal "