• Lebih 60 penjawat awam berdepan tindakan tatatertib tahun lepas

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+
    Sebanyak 66 kes tindakan tatatertib diambil terhadap penjawat awam di seluruh negara sepanjang tahun lepas oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), iaitu kurang 2 kes berbanding tahun sebelumnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

    Beliau berkata daripada jumlah itu, 9 kes membabitkan kesalahan tidak hadir bertugas, 28 kes kesalahan tatakelakuan dan 29 kes kesalahan jenayah.

    “Walaupun jumlah kes tindakan tatatertib menurun sedikit, (namun) ia menunjukkan perkembangan di mana ketua jabatan sekarang lebih tegas mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yang melakukan kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya SPA 2017 hari ini.

    Beliau berkata berdasarkan Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan, SPA diberi kuasa untuk menjalankan kawalan dan menguruskan tindakan tatatertib dengan tujuan proses buang kerja atau turun pangkat bagi Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

    Sehubungan itu, Entulu berkata penjawat awam perlu berkhidmat dengan ikhlas dan setia selain perlu sentiasa menjaga tatakelakuan dan integriti bagi mengelak daripada dikenakan hukuman tatatertib.

    “Sekiranya dikenakan tindakan tatatertib dan dibuang kerja, peluang untuk berkhidmat semula dalam perkhidmatan awam sangat tipis,” katanya.

    Entulu juga menasihatkan mereka yang memohon untuk bekerja dalam perkhidmatan awam supaya membuat persediaan untuk menghadapi temuduga dan peperiksaan bagi membolehkan mereka terpilih.

    “Anak muda perlu banyak berinteraksi bagi membina keyakinan mereka jika tidak bagaimana hendak berdepan dengan penemuduga. Selain itu, mereka perlu bersedia dalam ilmu pengetahuan am, jika tidak bagaimana hendak menjawab soalan yang dikemukakan,” katanya.

    Karnival Kerjaya SPA itu dari 9 pagi sehingga 5 petang ini bertujuan menerangkan peranan SPA serta memberi peluang kepada orang awam mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kerjaya dalam perkhidmatan awam.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih 60 penjawat awam berdepan tindakan tatatertib tahun lepas "