• Lebih 3,000 Peluang Kerja Di Agro Job Fair

    Published: Wednesday, 27 September 2017
    A- A+


    SERDANG: Lebih 3,000 jawatan kosong dalam bidang pertanian dan industri asas tani akan ditawarkan pada ‘Agro Job Fair' di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, bemula Khamis hingga 1 Oktober.

    Program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama JobsMalaysia sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK 2017) itu akan diadakan pada 10 pagi hingga 5 petang di Dewan A, MAEPS.

    Pengarah Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP) kementerian, Mohd Sufian Sulaiman berkata hampir 70 syarikat akan menawarkan kekosongan pekerjaan dalam bidang agromakanan termasuk pemprosesan makanan, akuakultur, penternakan dan ruminan pada karnival itu.

    Selain sektor pertanian, terdapat juga tawaran pekerjaan dalam sektor makanan, kulinari dan hospitaliti seperti perhotelan dan pemasaran.

    “Mereka yang ingin mencari kerja hanya perlu membawa resume, berpakaian kemas dan mengikuti sesi temu duga terbuka untuk mendapatkan penempatan terus di syarikat dan agensi yang terlibat.

    "Agro Job Fair ini membuktikan negara tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing, sebaliknya kita membuka peluang kepada pekerja tempatan untuk memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja," katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau berkata karnival itu terbuka kepada semua golongan pencari kerja terutama dalam bidang pertanian termasuk lepasan sekolah, siswazah, ibu tunggal dan golongan tercicir persekolahan.

    Mereka yang berminat boleh melayari laman Facebook rasmi Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) untuk mendapatkan maklumat lanjut, termasuk senarai majikan dan kekosongan jawatan yang ditawarkan. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih 3,000 Peluang Kerja Di Agro Job Fair "