• Layak Ke Piala Dunia Namun Iran Perlu Lebih Banyak Dana

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    HONG KONG: Jurulatih Iran, Carlos Queiroz menggesa supaya lebih banyak dana disalurkan dalam persiapan ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan atau berdepan risiko tersingkir pada peringkat kumpulan sekali lagi.

    Pasukan kendalian Queiroz muncul pasukan pertama dari Asia menempah tiket ke Russia Jun lalu dan kejohanan pada musim panas tahun depan adalah kali kelima Iran tampil pada pusingan akhir Piala Dunia.

    Pada 1978, 1998, 2006 dan 2014, juara Asia tiga kali itu gagal mara ke peringkat kalah mati dan Queiroz bimbang keputusan cuma dicatat tahun depan jika isu kewangan tidak ditangani segera.

    “Situasi itu secara asasnya sama seperti sebelum ini,” kata Queiroz.

    “Kami mempunyai persekutuan yang cuba melakukan yang terbaik. Namun malangnya di Iran, dan saya fikir di seluruh dunia, apabila anda bergelut dengan sokongan kewangan sering kali amat sukar untuk melaksanakan program.

    “Kami layak tiga bulan lalu dan ketika ini tiada alasan buat kami tidak mempunyai perancangan jelas dan bajet konsisten untuk mewajarkan keputusan dibuat.

    “Jika anda meniru persiapan empat Piala Dunia sebelum ini, anda tidak akan ke mana-mana. Ia satu rumusan mudah,” ujarnya.

    Komen Queiroz menyokong kenyataan tujuh pemain Iran dalam Instagram baru-baru ini, yang mana mereka meminta pihak berkuasa untuk mencontohi Korea Selatan dalam menggerakkan negara itu “dari atas ke bawah” bagi kempen Piala Dunia.

    Jurulatih dari Portugal itu akan membentangkan perancangannya kepada persekutuan bola sepak Iran tidak lama lagi namun setakat ini hanya dua perlawanan persahabatan mampu diatur.

    Iran akan berdepan Togo pada 5 Oktober depan sebelum menentang tuan rumah Piala Dunia, Russia lima hari kemudian.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Layak Ke Piala Dunia Namun Iran Perlu Lebih Banyak Dana "