• Lawatan Ke AS 'Markah Tambahan' Kepada Najib

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    WASHINGTON DC: Lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) yang bermula hari ini walaupun dipertikai banyak pihak, ia mempunyai signifikan penting, khususnya kepada negara.

    Perdana Menteri tiba di sini pagi ini, diiringi Datin Seri Rosmah Mansor.

    Ketika kebanyakan media di AS membuat pelbagai ulasan negatif, termasuk mengkritik Presiden Donald Trump menjemput Najib, ia sebenarnya sesuatu yang istimewa kepada negara.

    Dari satu segi, ia adalah pengiktirafan kepada Malaysia sebagai negara penting di rantau Asia, khususnya di Asia Tenggara.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengakui lawatan ini amat signifikan kepada Malaysia dan tidak seharusnya dipertikaikan.

    Katanya, kesediaan Trump menjemput Najib, pemimpin ASEAN kedua selepas Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc pada Jun lalu, menunjukkan AS mengiktiraf peranan Malaysia di peringkat wilayah mahupun lebih luas daripada itu.

    Lawatan sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-AS ini juga dianggap 'markah tambahan' kepada Najib sendiri.

    Walaupun ada pihak di Malaysia, terutama pembangkang mengaitkannya dengan kes 1MDB ia dilihat sebagai cubaan demi kepentingan politik kerana bimbang lawatan ini memberi kelebihan kepada Najib.

    Seperti kata Mustapa, jemputan Trump itu memberi kelebihan kepada Najib yang mendapat perakuan daripada AS sebagai pemimpin yang penting di wilayah ini.

    Sementara itu, selain bertemu Trump di Rumah Putih, Perdana Menteri mempunyai jadual padat termasuk menemui pemimpin korporat, pemikir dan ahli akademik.

    Perdana Menteri juga akan menyampaikan ucaptama di Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), sebagai sebahagian dari dialog Forum Banyan Tree Leadership.

    Acara ini dianjurkan bersama oleh CSIS dan Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS). Topik perbincangan tertumpu kepada hubungan dan kerjasama dua hala, serta isu keselamatan serantau.

    Selain Perdana Menteri, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Mustapa turut mengambil bahagian dalam forum itu dan bertukar-tukar fikiran dengan NGO, pemikir, ahli akademik dan pegawai kanan kerajaan AS.

    Selepas itu, Najib akan bermesyuarat dengan pengerusi dan ahli Jawatankuasa Senat Mengenai Hubungan Luar, di Bangunan Capitol.

    Mesyuarat ini penting memandangkan jawatankuasa berusia lebih 200 tahun ini memainkan peranan penting dalam membentuk dan mempengaruhi dasar luar AS.

    Mereka dijangka membincangkan isu dasar luar, serantau dan global yang berkepentingan bersama. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Lawatan Ke AS 'Markah Tambahan' Kepada Najib "