• Lanun Disebat, Dipenjara

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+

    Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini mengenakan hukuman penjara selama 16 tahun terhadap dalang dan 10 lagi lanun warga Indonesia selepas mereka mengaku bersalah merompak sebuah kapal kargo di perairan Terengganu pada 6 September lalu.

    Enam daripada 10 lanun berkenaan turut dikenakan hukuman lima sebatan selepas mereka dan dalang rompakan terbabit yang juga berasal dari Indonesia didakwa di dua mahkamah.

    Dalang rompakan itu, Heinrick Piterson Parera, 59, didakwa di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (KK) serta Seksyen 395 KK dan Seksyen 397 KK.

    Mengikut kertas pendakwaan, lelaki berkenaan didakwa bersubahat melakukan rompakan terhadap kapal MT MGT-1 milik syarikat Marine Global Transport berpangkalan di Thailand jam 8.30 malam pada 6 September lalu di Ghazrin Budget Hotel Sdn Bhd di Johor Bahru.

    Dia didakwa bersubahat dengan 10 lanun berkenaan dan tiga lelaki yang masih bebas untuk merompak kapal berkenaan menggunakan senjata iaitu pisau dan parang panjang hingga mendatangkan kerugian serta ketakutan kepada anak kapal.

    Sepuluh lagi lanun Anne Raja, Arsito Muhamamd Hardi, Kreston Muhaling, La Abu, Bram Ali, Luther Marnis Zachawerus, Badiun, Meidy Hermanus Wajongkere, Rollan Kapahese dan Oktemi Supri didakwa di hadapan Hakim Rafiah Mohamad mengikut Seksyen 395 KK dan Seksyen 397 KK.

    Kedua-dua hakim turut menetapkan hukuman penjara terhadap mereka itu bermula daripada tarikh ditangkap.

    Pendakwaan terhadap mereka itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahah Mohd Suah.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Lanun Disebat, Dipenjara "