• Kuota Pengambilan Pelajar Perubatan Ditentukan MMC

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pengambilan pelajar perubatan di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta ditentukan oleh kuota yang diberikan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

    Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata mana-mana pihak tidak boleh menyalahkan kementeriannya jika ada lambakan graduan perubatan universiti tempatan dan luar negara termasuk pelajar tajaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

    Katanya, pertambahan atau pengurangan jumlah pelajar perubatan negara ini, sama ada lulusan tempatan atau luar negara ditentukan MMC.

    "Kementerian hanya mengambil pelajar berdasarkan kuota yang diberikan.

    "Jadi, tidak timbul isu langkah kementerian ini meluluskan IPT awam atau swasta termasuk dari luar negara beroperasi di negara kita menyebabkan jumlah graduan bertambah," katanya dihubungi BH, hari ini.

    Beliau mengulas gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), yang menyarankan jumlah graduan perubatan negara ini, sama ada lulusan tempatan atau luar negara dihadkan kepada 3,000 setiap tahun, berbanding kira-kira 5,000 graduan ketika ini.

    Presiden MMA, Dr Ravindran R Naidu, berkata lambakan berlaku kerana banyak kolej dan fakulti perubatan dibuka dan ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara dalam pengajian perubatan

    Langkah itu menyebabkan bilangan doktor melebihi permintaan, apabila kira-kira 4,200 graduan perubatan dikeluarkan daripada 42 universiti dan kolej perubatan tempatan, setiap tahun di samping lebih 1,000 lulusan perubatan luar negara. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kuota Pengambilan Pelajar Perubatan Ditentukan MMC "