• KPM Akan Beri Pertimbangan Luaskan PS1M

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+


    TELUK INTAN – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ada menerima cadangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi meluaskan Program Susu 1Malaysia (PS1M) ke peringkat sekolah menengah pada masa akan datang.

    Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata pihaknya akan memberikan pertimbangan berhubung cadangan berkenaan supaya kesinambungan manfaat PS1M diteruskan dari sekolah rendah ke sekolah menengah seluruh negara.

    “Memang ada dalam senarai cadangan yang kami terima daripada PIBG serta pemimpin tempatan supaya PS1M dikembangkan ke sekolah menengah.

    “Kami di kementerian pendidikan akan memberi pertimbangan bagi melaksanakan PS1M di sekolah menengah berdasarkan peruntukan kewangan tahunan semasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran PS1M Peringkat Negeri Perak, di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batak Rabit di sini hari ini.

    Menurut beliau, PS1M bertujuan untuk meningkatkan tahap kesihatan dan pemakanan murid sekolah rendah bagi memastikan pertumbuhan fizikal, kesihatan mental dan kesihatan umum murid sekolah ke tahap yang optimum.

    Dalam pada itu Kamalanathan turut memaklumkan seramai 757,439 murid membabitkan 7,780 sekolah rendah seluruh negara menerima manfaat PS1M pada tahun ini.

    Untuk itu, katanya kementeriannya memperuntukkan RM49.3 juta dari 3 Julai hingga 2 Dis tahun ini untuk program tersebut.

    “Susu yang dibekalkan adalah kepada murid yang terpilih daripada golongan taraf sosioekonomi yang rendah dan mengalami kekurangan zat melalui program itu,” katanya.

    Sebelum ini, Program Susu Sekolah (PSS) dilaksanakan sepenuhnya oleh Kementerian Pelajaran sejak 1983 sehinggalah kemudiannya, penjenamaan semula dilakukan di bawah nama PS1M pada 9 Julai 2010.

    Ia merupakan sebahagian daripada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang bertujuan untuk menggalakkan amalan minum susu dalam kalangan murid-murid sekolah rendah. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " KPM Akan Beri Pertimbangan Luaskan PS1M "