• Kilang Kicap Kotor Diberi Notis Kompaun

    Published: Wednesday, 27 September 2017
    A- A+
    Foto Nik Abdullah Nik Omar


    KOTA BHARU: Sangat kotor! Tangki melarutkan garam berlumut, longkang tersumbat dan berbau di sebuah kilang memproses kicap, di sini, membuatkan perasa makanan yang dikenali ramai itu diragui kebersihannya.

    Tinjauan media bersama pegawai kesihatan mendapati pemilik kilang yang menggunakan bekas mengisi kicap dikitar semula juga amat diragui kebersihannya kerana terlalu kotor.

    Persekitaran kilang memproses kicap dengan cara tradisional itu juga didapati bersepah dengan barang yang uzur seperti kayu dan zin buruk selain tangki pemprosesan perasa makanan berkenaan turut berkarat.

    Berikutan keadaan itu, dua kilang kicap termasuk di Pengkalan Chepa dikenakan notis kompaun kerana tidak mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 oleh Pejabat Kesihatan Kota Bharu, hari ini.

    Pegawai Kesihatan Persekitaran Kota Bharu, Mat Ghahit Mohamed, berkata selain faktor kebersihan, pekerja di kedua-dua kilang berkenaan juga tidak mengikut peraturan apabila ada antara mereka tidak menjalani pemeriksaan kesihatan dan memiliki kad pengendalian makanan selain tidak memakai kasut ketika bekerja.

    "Kita sudah mengeluarkan notis kompaun kepada kedua-dua pemilik kilang berkenaan dan mereka perlu membayar denda maksimum RM2,500 dalam tempoh sebulan," katanya ketika ditemui selepas operasi di kilang kicap, di Wakaf Stan, di sini, sebentar tadi.

    Dalam operasi bermula jam 10 pagi tadi, sebanyak 55 notis dikeluarkan selepas unit penguatkuasaan dari 10 daerah bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Banda Raya Islam (MPKB-BRI) melakukan pemeriksaan di 24 kilang sekitar daerah ini.

    Dalam pada itu, Mat Ghahit berkata sebuah kilang roti di Jalan Hospital Berek 12, di sini diarah tutup 14 hari oleh Pejabat Kesihatan Kota Bharu, hari ini selepas pemeriksaan di premis itu mendapati kebersihan di tahap 50 peratus ke bawah.

    "Hasil pemeriksaan di kilang roti yang sudah beroperasi lebih 10 tahun mendapati bahan mentah makanan itu dalam keadaan mencurigakan kerana tiada perlindungan daripada kehadiran tikus sekali gus memberi risiko terdedah penyakit kencing tikus.

    "Sehubungan itu, mereka perlu memenuhi kehendak Jabatan Kesihatan dari segi pengendalian makanan, latihan, perlindungan serta kebersihan dari alatan yang tidak digunakan dalam masa 14 hari," katanya. -BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Kilang Kicap Kotor Diberi Notis Kompaun "