• `Kiddiepack' galak tabiat merokok

    Published: Wednesday, 20 September 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) membantah cadangan penjualan semula bungkusan rokok bersaiz kecil atau 'Kiddiepack'.

    Presiden PAPISMA, Datuk Dr Suhaini Kadiman, berkata ini kerana ia akan lebih menggalakkan tabiat merokok, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

    Katanya, yang memetik Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan (NHMS 2015) oleh Institut Kesihatan Umum (IKU), menunjukkan satu daripada 10 kanak-kanak belasan tahun di Malaysia terjebak dalam ketagihan merokok.

    "Amat membimbangkan lagi apabila 71 peratus kanak-kanak yang belum mencapai umur 14 tahun sudah mula berjinak-jinak dengan rokok.

    "Impaknya jika 'Kiddiepack' diluluskan, kita boleh bayangkan jumlah kanak-kanak yang bergelumang dengan musibah rokok ini akan bertambah.

    "Penjualan bungkusan kecil ini akan lebih memudahkan kanak-kanak dan wanita mendapatkan rokok," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

    Dalam pada itu, PAPISMA turut mencadangkan lima tindakan yang wajar diambil kerajaan dalam usaha menjadikan negara ini bebas daripada asap rokok, seperti berikut:

    1. Hentikan segera segala bentuk promosi, iklan atau pemberitaan yang mengandungi unsur menghidupkan semula penjualan rokok, sama ada bungkusan kecil atau besar.

    2.Menggandakan lagi langkah tegas penguatkuasaan di pintu masuk negara supaya rokok tidak sewenang-wenangnya diseludup masuk.

    3. Memberi kuasa yang lebih luas kepada pihak berwajib bagi menjalankan penguatkuasaan akta larangan morokok dan segala bentuk aktiviti berkaitan dengannya.

    4. Menambah lagi kawasan yang digazet sebagai Bebas Asap Rokok, seperti Melaka Bebas Asap Rokok, Kelantan Bebas Asap Rokok dan Terengganu Bebas Asap Rokok.

    5. Pihak berkuasa tempatan melaksanakan kempen gaya hidup sihat dan bebas daripada asap rokok secara lebih serius.-BHarian

    Subjects:

  • No Comment to " `Kiddiepack' galak tabiat merokok "