• Khazanah Sasar Peluang Pelaburan Di Asia Tengah

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+


    ASTANA (Kazakhstan) – Khazanah Nasional Bhd, berhasrat memperluaskan lagi aktiviti pelaburannya melangkaui Turki dan kini menyasarkan potensi itu di rantau Asia Tengah.

    Pengarah Eksekutif Kewangan/Ketua Pegawai Kewangannya, Datuk Mohd Izani Ghani berkata pelaburan itu boleh dipelbagaikan, kecuali sektor minyak dan gas serta perladangan yang sememangnya tidak disertai syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

    “Kami sudah pun bertapak kukuh di Turki menerusi pelbagai pelaburan seperti hospital dan lapangan terbang. Malah, kami boleh perluaskan perniagaan penjagaan kesihatan ke sini (Asia Tengah).

    “Syarikat ini sudah melabur dalam hospital di Malaysia, Singapura, Hong Kong dan tidak lama lagi di China. Lebih baik lagi jika kami dapat bertapak di semua lokasi geografi dan Asia Tengah memang menjadi tumpuan kami,” katanya kepada Bernama di luar Forum Perniagaan Tenaga Malaysia-Kazakhstan di sini, hari ini.

    Beliau merupakan ahli panel bagi Sesi 1 bertajuk ‘Investment Opportunities and Collaborations Between Malaysia and Kazakhstan’ (Peluang Pelaburan dan Kerjasama Antara Malaysia dan Kazakhstan) dengan Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Mohamad Bakri Syed Abd Rahman bertindak sebagai perantaranya.

    Mengulas lanjut, Mohd Izani juga tidak menolak kemungkinan pelaburan di Kazakhstan iaitu rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan Komanwel Negara-Negara Merdeka.

    “Pihak dana Kazakhstan pernah mengunjungi pejabat kami dalam usaha memahami langkah transformasi yang kami laksanakan. Mesyuarat itu lebih kepada penglibatan perniagaan,” katanya.

    Sementara itu, forum perniagaan sehari itu diadakan bersempena penyertaan Malaysia di acara Astana EXPO 2017 yang diuruskan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

    Acara itu turut menyediakan platform unik bagi orang ramai dan sektor swasta meninjau peluang perniagaan pada sesi padanan perniagaan di Pavilion Malaysia.

    Ini termasuk perbincangan yang mengetengahkan kekuatan Malaysia dalam pelbagai lapangan tenaga, teknologi hijau dan ekonomi. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Khazanah Sasar Peluang Pelaburan Di Asia Tengah "