• Ketagih Belajar Hingga Mendapat 145 Ijazah

    Published: Thursday, 21 September 2017
    A- A+

    CHENNAI: Seorang lelaki di sini dianggap individu paling banyak menggenggam ijazah di dunia apabila mempunyai 145 sijil akademik dalam tempoh 30 tahun.

    Profesor VN Parthiban yang mengajar di beberapa universiti di sini berkata, dia masih dahagakan ilmu dan tidak merancang berhenti belajar.

    Parthiban, 56, memberitahu, perjalanannya bermula sejak dia mengambil ijazah pertama di sebuah universiti di sini kira-kira 30 tahun lalu.

    Katanya, dia bukan seorang pelajar yang pintar dan tidak pandai mengatur waktu belajar menyebabkan dia selalu gagal dalam peperiksaan.

    Bagaimanapun, selepas beberapa kali berusaha dia akhirnya berjaya mendapatkan ijazah pertamanya.

    Kerana tertarik dengan subjek dan kajian yang ditawarkan di universiti, Parthiban mengambil keputusan untuk belajar semula bagi mendapatkan ijazah keduanya.

    Sejak itu, Parthiban mula ketagih belajar dan dia mengambil beberapa jurusan ijazah dan diploma pada satu-satu masa.

    “Selama 30 tahun hidup saya dihabiskan dengan proses belajar dan membuat persediaan menghadapi peperiksaan,” katanya.

    Parthiban kini mempunyai tiga ijazah sarjana sains, lapan ijazah sarjana undang-undang, lapan ijazah sarjana kewangan, sembilan ijazah sarjana pentadbiran perniagaan, 10 ijazah sarjana seni dan 12 ijazah dalam pelbagai bidang kajian.

    Apabila ditanya apakah subjek yang tidak disukainya, Parthiban dengan pantas menjawab, matematik.

    Malangnya, terdapat kesan sampingan negatif yang dialami Parthiban kerana terlalu banyak mengingati maklumat.

    Parthiban kini mengalami kesukaran mengenali wajah seseorang dan dia juga sering lupa jalan yang sering dilaluinya.

    Namun, bapa kepada dua anak itu masih berazam untuk belajar lagi.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Ketagih Belajar Hingga Mendapat 145 Ijazah "