• Kerajaan Tawar Khidmat Kaunseling

    Published: Saturday, 16 September 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan khidmat kaunseling kepada anggota keluarga dan mangsa yang terlibat dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, di sini.

    Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ini kerana kesemua mangsa kebakaran masih berada dalam keadaan trauma berikutan insiden menyayat hati itu.

    “Kerajaan komited untuk bantu mangsa dan keluarga dengan menawarkan bantuan kaunseling. Ketika ini, mereka berada dalam keadaan yang amat memerlukan sokongan dan bantuan daripada semua pihak.

    “Selain itu, saya juga telah mengarahkan pegawai kaunselor saya hadir bersama bukan saja di hospital tetapi sehingga mengikut mereka pulang ke rumah untuk kaunseling,” katanya pada sidang media selepas melawat tujuh mangsa kebakaran di pusat tahfiz itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, hari ini.

    Ditanya mengenai keadaan mangsa yang dirawat di HKL, Rohani berkata kesemua tujuh mangsa yang cedera termasuk dua yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di HKL, kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

    “Hari ini saya dapat berjumpa dengan semua mangsa kecuali seorang yang dimasukkan dalam ICU Pediatrik. Mereka masih lagi trauma.

    “Apabila saya minta mangsa menceritakan kejadian itu, ada antara mereka hanya sekadar tunduk dan menjawab sepatah manakala ada yang menangis ketika menceritakan detik pahit itu tetapi ditenangkan oleh ibu mereka masing-masing,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL, Prof Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah ketika diminta mengulas mengenai laporan kesihatan dua pelajar tahfiz yang dimasukkan ke ICU, beliau berkata ketika ini mereka dilaporkan stabil.

    “Mereka tercedera selepas melompat dari tingkat dua dan mengalami kecederaan serius. Ada yang patah tulang kaki, cedera di bahagian paru-paru. Ada seorang lagi (mangsa) yang mengalami kecederaan serius di mana paru-paru cedera, tulang pinggul dan kakinya patah,” katanya.

    Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut meluangkan masa melawat mangsa.

    Dalam kebakaran 5.15 pagi Khamis lepas, 21 pelajar dan dua guru merangkap warden pusat tahfiz berkenaan meninggal dunia. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Tawar Khidmat Kaunseling "