• Kerajaan Pastikan Golongan M40, B40 Miliki Rumah Sendiri - Najib

    Published: Monday, 18 September 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan setiap golongan rakyat termasuk golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

    Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 83,759 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah disiapkan di seluruh negara untuk golongan kurang berkemampuan, manakala sebanyak 25,000 unit lagi masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap sebelum 2020, dengan keseluruhan projek menelan peruntukan RM6 bilion.

    Selain itu, katanya, kerajaan mengambil inisiatif membina rumah PPR yang mengandungi nilai subsidi terbesar kepada rakyat, contohnya PPR Sri Aman di Jinjang, di sini, yang dijual pada harga RM35,000 walaupun kos asalnya sekitar RM150,000 seunit.

    "Jika dilihat, harga pasaran untuk PPR Sri Aman adalah dalam lingkungan RM200,000 seunit, namun kerajaan hanya menawarkan dengan harga RM35,000 kepada rakyat.

    "Ia sebenarnya turut menambah kekayaan aset kepada rakyat, kerana nilainya akan meningkat pada masa akan datang, malah, ia juga akan menjadi harta pusaka kepada keluarga," katanya ketika merasmikan PPR Sri Aman, Jinjang dan melancarkan Perumahan Transit Belia di sini, hari ini.

    Turut hadir, bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Tan Sri Noh Omar, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Iktisas Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Pastikan Golongan M40, B40 Miliki Rumah Sendiri - Najib "