• Kerajaan kaji sebelum benarkan PLUS dijual - Johari

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Kerajaan mahu mendapatkan pencerahan terlebih dulu berhubung sumber dana yang bakal diperoleh Maju Holdings Sdn Bhd bagi cadangan syarikat itu untuk mengambilalih PLUS Malaysia Bhd, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Ghani.

    Beliau berkata, ia bertujuan untuk menghindari daripada berlakunya perkara yang tidak diingini dan merugikan negara dan rakyat pada masa depan.

    "Pertama saya nak tanya duit itu datang dari mana? Kalau ia datang dari luar negara saya nak tahu ia berunsur pinjaman atau sebaliknya. Kalau berunsur pinjaman dan andai kata pinjaman ini tak boleh di bayar balik kerana dia (syarikat) tidak ada peningkatan dan sebagainya, akhirnya dia akan menyebabkan aset strategik negara jatuh ke tangan orang luar.

    "Saya nak faham (terlebih dulu) model kewangan tu macam mana," katanya sambil menambah beliau belum menerima atau melihat kertas cadangan pengambilalihan Maju Holdings itu.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita di Fiesta Labur PNB 2017 di sini hari ini.

    Maju Holdings sebelum ini menyatakan ia sudah mengemukakan tawaran bernilai RM36 bilion untuk membeli keseluruhan aset dan liabiliti PLUS Malaysia Bhd daripada UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    UEM menguasai 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala baki 49 peratus dikuasai KWSP.

    PLUS memiliki lima konsesi lebuh raya, pertamanya adalah Projek Lebuhraya Utara-Selatan Bhd yang mengendalikan antaranya Lebuhraya Utara-Selatan; kedua, Expressway Lingkaran Tengah Sdn Bhd yang merangkumi North-South Expressway Central Link; ketiga, Linkedua (M) Bhd yang mengendalikan Malaysia-Singapore Second Crossing; keempat, Konsortium Lebuhraya Butterworth-Kulim Sdn Bhd; dan terakhir Penang Bridge Sdn Bhd. Semua konsesi PLUS Malaysia akan berakhir pada Disember 2038.

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan kaji sebelum benarkan PLUS dijual - Johari "