• Kenyataan Dr Mahathir Tidak Tepat, Kata Penerbangan Malaysia

    Published: Thursday, 28 September 2017
    A- A+

    KELANA JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB), Peter Bellew, berkata terdapat banyak fakta yang tidak tepat mengenai syarikat itu dalam penulisan yang dimuat naik Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blog beliau.

    "Saya sudah baca semuanya dalam blog, ada juga yang dilaporkan kepada saya. Banyak yang tidak tepat, dan tiada sesiapa pun menghubungi saya atau syarikat ini untuk menyemak semua yang dikatakan itu," katanya.

    Beliau merujuk kepada penulisan yang dimuat naik Mahathir di blog berhubung pembelian pesawat baharu jenis Boeing oleh MAB sewaktu lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Washington DC baru-baru ini.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada taklimat media berhubung hala tuju perniagaan MAB di sini hari ini.

    Isnin lalu, Mahathir mempersoalkan pengumuman kerajaan berhubung urus niaga pembelian pesawat Boeing itu, mengatakan bahawa MAB sebelum ini mengumumkan mahu membeli pesawat daripada Airbus.

    "Adakah MAS akan beli Airbus A350-900 atau Boeing 787 Dreamliner atau kedua-duanya? Adakah keputusan membeli 58 Boeing dibuat MAS, atau ia keputusan peribadi Najib (Razak) sebagai habuan peluang bergambar dengan Trump?" katanya.

    Bellew berkata, rundingan antara MAB dengan Boeing bagi tujuan pembelian pesawat itu diadakan berbulan-bulan sebelum lawatan Najib ke Washington DC.

    Beliau menjelaskan, sebab utama syarikat itu perlu membeli pesawat baharu ialah kerana banyak pesawat sedia ada akan mencapai usia ia tidak lagi sesuai digunakan.

    Pemilihan Boeing katanya, ialah kerana ia membuat penawaran yang baik.

    Kekeliruan ialah berhubung laporan yang menyatakan MAB tidak membeli pesawat Boeing berkenaan tetapi memajaknya daripada pihak ketiga.

    Bellew menjelaskan, strategi masa depan syarikat itu ialah membeli pesawat baharu terus daripada pengeluar dan menjualnya kepada syarikat pemajak.

    Penerbangan Malaysia kemudiannya akan menyewa kembali pesawat itu daripada pemajak secara bulanan, katanya.

    "Kaedah ini lebih menjimatkan," katanya sambil menambah dengan tidak memiliki pesawat sendiri, MAB ada banyak pilihan untuk cepat beralih mendapatkan pesawat yang lebih baharu dan lebih canggih seandainya pesawat yang digunakan itu tidak lagi sesuai. - BHOnline

    Foto Nurul Shafina Jemenon

    Subjects:

  • No Comment to " Kenyataan Dr Mahathir Tidak Tepat, Kata Penerbangan Malaysia "