• Kembara Inspirasi Haji Wajar Diberi Sokongan

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+


    MAKKAH – Usaha yang dilakukan Kembara Inspirasi Haji yang mengembara ribuan kilometer merentasi 10 buah negara wajar diberi sokongan dan penajaan kerana perkara yang dilakukan lapan pesertanya itu memberi banyak manfaat kepada semua orang.

    Menurut Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Senator Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, daripada penceritaan anggota kembara kepada beliau mengenai pengembaraan mereka menunjukkan ia satu pengalaman yang sukar dicari sepanjang perjalanan 16,000km yang dicatatkan pesertanya.

    “Mereka yang tahan sahaja sanggup melakukan perjalanan dua bulan berkenderaan dan macam-macam cerita yang kita dengar dan saya percaya banyak perbandingan yang boleh dibuat antara kita dengan negara lain, ” katanya selepas menerima kunjungan peserta kembara di hotel penginapan beliau dan isteri Puan Sri Asmah Abdul Rahman yang baru mengerjakan ibadah haji, di sini.

    “Kalau di barat, National Geographics menyiarkan dokumentari mengenai satu satu tempat. Saya melihat pengembaraan kembara inspirasi haji ini satu usaha yang mempunyai sama standard dengan dokumentari National Geographic dan banyak pihak wajar memberi sokongan dan menajaan kerana usaha sebegini dapat memperkayakan pengalaman rakyat Malaysia menerokai dunia, ” katanya.

    Sambil mengucap syabas dan tahniah atas kejayaan peserta kembara sampai ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji, Mohd Ali berharap mereka akan meneruskan usaha itu tahun hadapan dengan lebih banyak tajaan.

    Mohd Ali yakin pengembaraan itu dapat mengeratkan hubungan mereka dengan penduduk tempatan selain mendapat kenalan baru di negara yang peserta kunjungi.
    Dalam kunjungan itu Pengarah Projek, Khir Ariffin memaklumkan mengenai pengembaraan mereka selama 35 hari merentasi Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berakhir di Dubai dan menyambung perjalanan seterusnya ke tanah suci dengan menaiki kapal terbang beberapa hari sebelum wukuf.

    Beliau juga memaklumkan bahawa pengembaraan mereka akan disiarkan dalam dokumentari 13 episod yang akan diterbitkan oleh Bernama News Channel yang diharapkan mendapat penajaan untuk penyiarannya nanti. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kembara Inspirasi Haji Wajar Diberi Sokongan "