• Kelab Luar Negara Minat Kim Swee

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Berita perpindahan jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Datuk Ong Kim Swee semakin hangat diperkatakan di Indonesia apabila terbaru beliau dikaitkan dengan kelab liga utama negara itu Mitra Kukar FC.

    Ini susulan peletakan jawatan pengendali kelab berpangkalan di Kalimantan Timur itu, Jafri Sastra bulan lalu dan sehingga kini masih belum ada pengganti.

    Ketika ini Mitra Kukar yang menduduki tangga kelapan Liga Super Indonesia (ISL) hanya dibimbing jurulatih sementara Sukardi Kardok.

    Sebelum ini laporan korankaltim.com di republik itu menyatakan pemilik Mitra Kukar Endri Erawan pernah bertemu Kim Swee namun menafikan sudah berbincang secara serius.

    Menurut wartawan JawaPos.com Nuris Andi Prasetyo, kehadiran Kim Swee bakal mendapat perhatian meluas di arena bola sepak Indonesia selepas penyerang kebangsaan Mohd Safee Sali mencetuskan sensasi menerusi perpindahan dari Selangor ke Pelita Jaya pada 2010-2011.

    “Nama Kim Swee sudah dikenali dalam kalangan penyokong bola sepak di Indonesia selepas kejayaan Malaysia memenangi emas Sukan SEA Jakarta (2011). Memang boleh beri impak besar jika ke sini (Indonesia). Malah dari segi pertuturan juga, beliau ada kelebihan untuk membimbing pemain di sini.

    “Sekarang memang kelab Mitra Kukar mahu mencari pelatih baru tapi tidak diketahui sama ada Kim Swee calonnya,” katanya.

    Spekulasi mengenai perpindahan Kim Swee menjadi perhatian apabila jurulatih berusia 46 tahun itu bakal tamat kontrak hujung tahun ini selepas membawa pasukan layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China tahun depan dan meraih perak Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan lalu.

    Kim Swee dilaporkan diintai kelab berpangkalan di Jakarta namun beliau enggan berbicara mengenai perkara itu kerana mahu mengadakan perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kontraknya.

    Tiga kelab dari Jakarta yang dikaitkan dengan Kim Swee dalam ISL membabitkan Bhayangkara FC, PS TNI dan Persija Jakarta. Bagaimanapun ketiga-tiga kelab ini masih mempunyai jurulatih masing-masing.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Kelab Luar Negara Minat Kim Swee "