• Kanak-kanak Dipenggal dan Umat Islam Dibakar Hidup-Hidup

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+
    Rakhine, Myanmar: Kekejaman berterusan terhadap orang awam Rohingya semakin memuncak menurut laporan daripada saksi-saksi yang melaporkan bahawa kanak-kanak dipenggal dan penduduk Muslim dibakar hidup-hidup.

    Menurut The Telegraph, keganasan tersebut sudah berlarutan selama seminggu seiring dengan kenyataan daripada pihak kerajaan yang bersifat kebencian.

    Hal ini menyebabkan duta United Kingdom membawa perkara ini kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menggesa ketua de facto kerajaan Myanmar, Aung San Suu Kyi untuk memperbetulkan keadaan.

    Penerima anugerah Nobel Keamanan tersebut berdepan dengan bidasan pihak antarabangsa kerana dilihat gagal menyelesaikan penganiayaan yang berterusan ke atas golongan minoriti Muslim.

    Selain itu, Aung San Suu Kyi juga dikecam atas kenyataan dalam talian “komiti informasinya” yang didakwa menyebabkan masyarakat umum semakin membenci dan memusuhi populasi etnik Rohingya dan pekerja bantuan di negara itu.

    Jumaat lepas, kumpulan pembela hak asasi yang berpangkalan di Bangkok, Fortify Rights telah menerbitkan laporan-laporan mengerikan daripada etnik Rohingya yang berjaya menyelamatkan diri dari perkampungan Chut Pyin di Rathedaung.

    Menurut saksi, lebih kurang 200 penduduk yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak telah dibunuh oleh anggota keselamatan Myanmar dan penduduk tempatan Rakhine.

    Tentera-tentera dilaporkan telah menahan sekumpulan lelaki Rohingya dan membawa mereka masuk ke dalam pondok buluh berhampiran dan kemudiannya membakar pondok-pondok buluh berserta dengan tahanan-tahanan tersebut.

    Jurucakap kerajaan Myanmar tidak dapat dihubungi untuk komen semalam. Sebelum ini, jurucakap tersebut memberitahu The Telegraph bahawa komiti informasi sebenarnya mewakili pandangan kerajaan secara keseluruhan, bukan pandangan Aung San Suu Kyi semata-mata.

    Dia (jurucakap) juga mengatakan bahawa kerajaan sedar akan keperluan untuk melindungi “Muslim yang tidak bersalah” sewaktu kerajaan berusaha menumpaskan pejuang kebebasan.

    Pengarah Burma Campaign UK, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di London, Mark Farmaner mengalu-alukan perbincangan Majlis Keselamatan namun menggesa Kerajaan British untuk pergi meningkatkan usaha dalam bantahan mereka terhadap kejadian yang berlaku di Rakhine.

    “Menyokong Aung San Suu Kyi dan pembaharuan di Myanmar tidak bermaksud kerajaan British berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa apabila ratusan Muslim Rohingya disembelih oleh tentera-tentera Myanmar.”

    Sumber: https://www.menara.my

    Subjects:

  • No Comment to " Kanak-kanak Dipenggal dan Umat Islam Dibakar Hidup-Hidup "