• Kampung Bidayuh Perlu Diwujudkan Di Sibu - Manyin

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+


    SIBU: Sebuah perkampungan Bidayuh perlu diwujudkan di Sibu kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong.

    Beliau menyarankan kepada Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Sibu supaya sebuah kampung Bidayuh di Sibu  perlu diwujudkan seperti Kampung Lusut di Miri.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, saranan mewujudkan perkampungan Bidayuh adalah lebih baik daripada permintaan awal DBNA untuk membina sebuah pusat untuk masyarakat Bidayuh di Sibu.

    “Cuba mereka lihat, kita ada sebuah kampung Bidayuh di Miri iaitu Kampung Lusut. Ia bermula dengan kita meminta tanah tersebut daripada kerajaan negeri yang menempatkan sebanyak 250 lot, di mana setiap lot seluas 20 poin.

    “Kini, semua kawasan tersebut telah diteroka secara individu dan ramai antara mereka telah membina rumah di sana. Jika mereka (DBNA Sibu) meminta untuk dibinakan sebuah pusat, nanti siapa yang akan menyelenggara pusat berkenaan. Dan di mana mereka mendapatkan duit (untuk menyelenggara pusat berkenaan)?,” katanya.

    Menurutnya, adalah lebih baik jika memohon tanah kerajaan negeri bukan untuk individu, tetapi untuk sebuah kampung.

    Justeru, mereka secara individu boleh membina rumah sendiri yang akan menjadi sebuah Kampung Bidayuh yang mewakili masyarakat Bidayuh di Sibu.

    “Ini lebih baik dan ini adalah cadangan saya kepada mereka.

    “Bagi pihak saya pula, saya akan membantu mereka memohon tanah daripada kerajaan negeri jika mereka sudah mengenal pasti di mana tanah itu. Sudah tentu, pada akhirnya, apabila mereka semua diberi geran tanah, mereka perlu membayar premium tetapi ia akan sangat minimum, “katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Makan Malam Ulang Tahun Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Sibu Ke-32 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin. – Sarawakiana
  • No Comment to " Kampung Bidayuh Perlu Diwujudkan Di Sibu - Manyin "