• 'Kami Tidak Pernah Bertemu Di Final Terbuka AS'

    Published: Thursday, 7 September 2017
    A- A+

    NEW YORK: Rafael Nadal percaya adalah sesuatu yang menyedihkan berikutan tidak pernah menentang Roger Federer pada final tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS).

    Dengan kedua-duanya memiliki status sebagai juara Grand Slam, Nadal menegaskan mereka perlu terus beraksi sehingga pertemuan itu berlaku.

    Pemain nombor satu dunia Nadal, juara pada 2010 dan 2013, mengetepikan pemain Russia berusia 19 tahun Andrey Rublev 6-1, 6-2, 6-2 dalam masa hanya 97 minit awal pagi tadi untuk mara ke kelompok empat pemain terakhir di New York buat kali keenam.

    Pada sesi sebelah malam, Federer akan berdepan Juan Martin del Potro pada suku akhir.

    Kemenangan buat juara lima kali Terbuka AS itu akan menempatkannya pada separuh akhir esok berdepan Nadal yang menjadikannya pertemuan pertama mereka pada kejohanan berkenaan.

    "Pelik juga apabila Roger dan saya tidak pernah bermain di sini walaupun banyak kali beraksi dalam pelbagai kejohanan utama seluruh dunia," kata Nadal.

    "Ia akan lebih istimewa jika berlaku pada final tahun ini. Kami hanya perlu bangkit kembali dan menjadikan ia realiti."

    Nadal dan Federer yang berusia 36 tahun hampir bertemu di Stadium Arthur Ashe sebanyak lima kali apabila mereka hanya memerlukan satu kemenangan tetapi kedua-duanya tewas. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " 'Kami Tidak Pernah Bertemu Di Final Terbuka AS' "