• Jumlah Penderma Organ Menurun

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+


    HANYA 10,487 orang yang berikrar menderma organ sehingga 31 Julai tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Pendermaan Organ Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye.

    Beliau berkata, punca utama menyebabkan jumlah penderma organ berkurangan kerana tiadanya kempen secara besar-besaran, disebabkan kekurangan peruntukan daripada kerajaan.

    "Sejak 1997 hingga Julai tahun ini, jumlah orang yang berikrar menderma organ di seluruh negara adalah seramai 393,221 orang dan 2015 adalah tahun paling ramai dicatatkan iaitu 51,855 orang.

    "Bagaimanapun, jumlahnya menurun sehingga 37,408 orang ataupun 27.86 peratus pada 2016," katanya kepada China Press.

    Menurutnya, sejak dua tahun kebelakangan ini, akibat tiada peruntukan daripada kerajaan untuk menjalankan kempen secara besar-besaran, pihaknya terpaksa menganjurkan majlis secara kecil-kecilan bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan persatuan-persatuan agama bagi meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ.

    "Kebanyakan penduduk bandar, biasanya akan secara sukarela menyahut kempen dengan mendaftar sebagai penderma organ.

    "Perangkaan juga menunjukkan sejak kebelakangan ini, semakin ramai kaum Melayu mulai sedar pentingnya pendermaan organ.

    "Sebagai bukti, tahun ini kaum Melayu yang berdaftar sebagai penderma organ seramai 3,690 berbanding kaum Cina dan India, masing-masing 2,744 dan 2,345 orang," katanya. - Sinar Harian 

    Subjects:

  • No Comment to " Jumlah Penderma Organ Menurun "