• JPN dibenar rayu isu anak tak sah taraf

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA: Persoalan sama ada anak tidak sah taraf beragama Islam boleh dikecualikan daripada dibin dan bintikan Abdullah dan dibenar menggunakan nama bapanya, akan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

    Ia susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif, membenarkan permohonan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarahnya dan Kerajaan Malaysia merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Mei lalu.

    Mahkamah Rayuan dalam keputusannya, memutuskan Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang membenarkan anak tidak sah taraf menggunakan nama bapanya, turut terpakai kepada kanak-kanak beragama Islam.

    Dalam keputusan hari ini, panel turut memutuskan ia akan mendengar dan membuat keputusan berhubung persoalan sama ada mahkamah sivil boleh memutuskan persoalan atau perkara kesahtarafan kanak-kanak beragama Islam dalam penamaan dan penasaban.

    Selain itu, ia turut akan memutuskan persoalan sama ada dalam membuat pendaftaran kanak-kanak beragama Islam, Pendaftar Kelahiran dan Kematian boleh merujuk dan bergantung kepada sumber perundangan Islam mengenai kesahtarafan.

    Turut bersidang dalam panel itu, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Aziah Ali.

    Md Raus mengarahkan kes ditetapkan pada tarikh lain untuk pengurusan kes.

    Mahkamah Rayuan pada 25 Mei lalu membenarkan rayuan pasangan suami isteri dan anak lelakinya dalam permohonan semakan kehakiman difailkan mereka untuk memastikan Ketua Pengarah JPN menukar perkataan 'Abdullah' sebagai bin untuk nama kanak-kanak itu kepada nama bapanya dalam sijil kelahiran.

    Dalam penghakimannya, Mahkamah Rayuan memutuskan Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf.

    Mahkamah itu berkata, bidang kuasa ketua pengarah adalah bersifat sivil dan hanya terhad dalam menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu memenuhi syarat dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 yang meliputi semua kanak-kanak tidak sah taraf membabitkan orang Islam dan bukan Islam.

    JPN diwakili Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan manakala pasangan terbabit selaku responden diwakili peguam K Shanmuga.

    Majlis Agama Islam Johor selaku pencelah diwakili peguam Datuk Sulaiman Abdullah.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " JPN dibenar rayu isu anak tak sah taraf "