• Jemaah haji kita tiba esok

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+


    PENERBANGAN pertama jemaah haji Malaysia dari Lapangan Terbang King Abdulaziz Jeddah dijangka tiba di tanah air kira-kira jam 3 pagi esok (Khamis).

    Penerbangan XY9003 yang membawa 420 jemaah itu akan berlepas pada jam 1 tengah hari ini waktu Arab Saudi.

    Semua penumpang terbabit adalah kumpulan pertama yang meninggalkan Tanah Suci selepas mengerjakan ibadat haji pada musim 1438 Hijrah.

    Bagi jemaah yang menaiki penerbangan terus ke Jeddah seterusnya ke Makkah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, mereka sudah mula bertolak ke Madinah bagi program ziarah dan ibadat di Masjid Nabawi.

    Kumpulan jemaah penerbangan pulang pertama itu akan bertolak ke Jeddah kira-kira jam 4 pagi ini (9 pagi Malaysia) menaiki bas untuk proses daftar masuk dan pemeriksaan kastam serta imigresen Arab Saudi.

    Bagi memudahkan proses di lapangan terbang, beg besar jemaah haji sudah melalui proses daftar masuk di maktab penginapan lagi bagi mengelak masalah atau kesesakan.

    Beg besar itu kemudian diangkut dengan lori ke lapangan terbang.

    Jemaah haji hanya perlu membawa beg seberat lima kilogram yang dibekalkan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk dibawa bersama ketika menaiki pesawat.

    Bagi jemaah haji, penerbangan terakhir mereka dijangka pada 4 Oktober ini.

    Selain Jeddah, jemaah haji yang berada di Madinah akan berangkat pulang ke tanah air melalui terminal haji Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz Madinah.

    Petugas media yang membuat liputan musim haji kali ini akan bertolak pulang ke tanah air pada 11 September ini dalam dua penerbangan iaitu jam 6 petang dan 10 malam Arab Saudi.-HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Jemaah haji kita tiba esok "