• Jauhi Fitnah ‘Internet’ Akhir Zaman

    Published: Wednesday, 6 September 2017
    A- A+

    FITNAH lebih dahsyat daripada membunuh. Mangsa fitnah akan menderita sepanjang zaman. Sekiranya mang­sa itu dibunuh, bermakna dia hanya menderita sekejap sahaja. Mereka yang terkena fitnah hidupnya pula bukan sahaja sengsara, tetapi dianggap oleh khalayak sebagai manusia jahat dan mesti dipulaukan oleh masyarakat. Oleh itu, dosa pembuat fitnah telah dikategorikan sebagai dosa paling besar di sisi Allah.

    Bagaimana kejadian fitnah itu boleh terjadi dengan mudah sekali, khususnya dalam kehidupan dunia mutakhir ini?

    Bagaimana rupa bentuk fitnah akhir zaman, adakah gosip-gosip liar juga dikatakan sebagai fitnah? Gosip yang dibuat-buat oleh pihak tertentu, sehingga menjadi panas dan ditularkan ke seluruh media termasuk media cetak.

    Kejadian fitnah ini berlaku secara berleluasa dalam dunia mutakhir ini apabila munculnya media bebas tanpa sempadan. Dunia yang komunitinya adalah netizen. Mereka yang sentiasa bermain di alam maya, sangat terdedah kepada perbuatan fitnah dan memfitnah antara satu sama lain.

    Fitnah akhir zaman perlu difikirkan bersama. Tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Kemunculan pelbagai fitnah melalui media sosial tanpa sempadan ini sangat me­ngancam keselamatan negara. Malah, dari segi pendidikan, guru-guru di sekolah bermula dari sekolah kebangsaan hingga ke peringkat lebih tinggi hendaklah cakna dengan perkembangan terkini.

    Mereka perlu memperjelaskan peranan media sosial masa ini. Betapa bahayanya kalau pengguna mempercayainya secara 100 peratus sedangkan hakikat sebenarnya adalah lain dari maklumat yang diperoleh.

    Dalam dunia facebook misalnya, kita selalu disuapkan dengan berita-berita fitnah tentang pemimpin negara. Malah mereka berani memburuk-burukkan Yang di-Pertuan Agong dan mengedit foto-foto Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan adaptasi foto-foto porno. Pihak ini merekacipta berita-berita fitnah yang berhasrat untuk menjatuhkan imej pemimpin-pemimpin negara.

    Pihak Kementerian Pendidikan sepatutnya menambah suatu sukatan khusus tentang peranan media maya kini untuk disampaikan kepada golongan pelajar seluruh negara. Kita sedar bahawa peranan media sosial ini sangat baik dan berguna kepada pembangunan manusia. Ini adalah alat komunikasi yang sangat pantas, tetapi kepentingan itu hendaknya melebihi dari keburukan.

    Semua pihak hendaklah segera memahami betapa bahayanya jika kerja-kerja memfitnah oleh segolongan orang melalui Facebook, Instagram, Weechat, WhatsApp dan pelbagai media baharu yang muncul melalui agenda maya.

    Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) harus segera menangani perkara ini dengan mendapat kerjasama dari pihak keselamatan yang lain supaya keselamatan dan keharmonian negara terjamin. Dan boleh memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur luar negara untuk terus datang menanam modal di sini, sekali gus mengekalkan Malaysia sebagai negara aman dan makmur.

    Kepada pembuat fitnah, merasakan perbuatan berdosa ini tidak menjadi apa-apa kepada mereka. Mereka khusus­nya yang antikerajaan, mahu menjadikan agenda fitnah ini sebagai suatu kaedah untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

    Mereka mahu kerajaan sekarang menjadi muflis melalui sebaran dan maklumat tidak sahih yang mereka peroleh daripada sumber-sumber luar yang kontra dengan kerajaan Malaysia. Mereka tidak mahu melihat Malaysia terus tegak berdiri sebagai sebuah kuasa politik dan ekonomi yang disegani di rantau ini.

    Berdasarkan pemerhatian dan kajian penulis mendapati banyak pihak lebih mempercayai media sosial daripada mempercayai sumber-sumber tempatan yang lebih nyata dan meyakinkan. Kita lebih mempercayai sumber mereka pihak munafikin berbanding sumber orang Islam.

    Mulai sekarang, sebagai rakyat yang cintakan keamanan untuk sebuah negara merdeka, marilah kita jauhi sifat dan tabiat buruk rakyat berwarganegara Malaysia yang suka kepada fitnah akhir zaman. Jauhi dari perbuatan dosa besar, yang semakin merebak dalam kalangan anak muda kita khususnya.

    Abdullah Awang

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Jauhi Fitnah ‘Internet’ Akhir Zaman "