• Jangan Mudah Terpengaruh Dengan Fitnah Media Sosial

    Published: Friday, 29 September 2017
    A- A+


    IRBID - JORDAN. Pelajar Malaysia di kota Irbid, Jordan dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan budaya fitnah media sosial, sebaliknya meneliti dahulu sesuatu berita atau isu sebelum berkongsinya dengan orang lain.

    Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ruhaidini Abd Kadir berkata, pelajar juga harus lebih mempercayai dan meyakini media arus perdana serta tidak bergantung dengan maklumat media sosial yang belum pasti kesahihannya.

    Beliau berkata, kepelbagaian media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Twitter telah membuatkan semua maklumat dapat disampaikan dengan begitu pantas, malah adakala maklumat itu mendahului platform media lain.

    “Contohnya dalam kejadian kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini, ramai sebarkan gambar mangsa rentung dan gambar suspek masih di bawah umur tanpa memikirkan kesan kepada keluarga terlibat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman pada program Media: Two Side Of A Coin, anjuran Persatuan Sahabat Karya dan Kelab Umno Luar Negara Irbid dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    Program itu turut mendapat sokongan Mara, Felcra, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan peladang Kebangsaan (Nafas), Tekun dan Pemuda MIC.

    Lebih 200 pelajar menyertai program tersebut, yang turut dihadiri wakil Kedutaan Besar Malaysia ke Jordan, Mega Nopija Khalidi Ahmad Abdullah; Pengarah Mara Mesir, Abdullah Shamsuddin dan Timbalan Pengarah Mara Mesir, Mohammad Faizal Abdul Bashir; Presiden Kelab Umno Luar Negara Irbid, Zaznizam Izzat Isni Zamani serta Pengurus Besar Sahabat Karya, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

    Ruhaidini mengakui pernah menjadi mangsa fitnah media sosial berkata, beliau menjadi sasaran beberapa individu yang tidak berpuas hati dengan tugasnya sebagai pegawai menteri.

    “Fitnah lebih kejam dari pembunuhan. Mangsa fitnah, khususnya di media sosial akan menderita. Jiwa mereka yang terkena fitnah akan mati, imej tercalar, selain menanggung aib.

    “Fitnah disebarkan boleh mewujudkan rasa benci dan permusuhan terhadap mangsa. Individu yang difitnah itu bukan sahaja terpaksa berdepan cercaan dan pandangan serong terhadapnya, tetapi fitnah juga memusnahkan reputasi dan kredibiliti mangsa,” katanya.

    Pengarang Berita Sinar Harian, Azmi Tarmizi pula berkata, ramai dalam masyarakat cenderung berkongsi maklumat tanpa meneliti kebenarannya terlebih dahulu sehingga terlupa kesan kepada orang lain dan akhirnya mengutip ‘dosa jariah’.

    “Apa yang akan terjadi sekiranya maklumat yang dipanjangkan tidak sahih? Sudah pasti, perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini akan mengundang masalah, apatah lagi jika didapati maklumat tersebut fitnah dan palsu,” katanya.

    Beliau berkata, umat Islam perlu mengamalkan konsep tabayyun iaitu prinsip dan akhlak orang beriman, yang merujuk kepada amalan meneliti dan menyelidiki sesuatu berita.

    Pada program di Dewan Shahrazad di Irbid itu, pelajar turut mendapat suntikan motivasi daripada Ketua Kluster Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Profesor Dr Agus Yusoff.

    Sementara itu, Zaznizam Izzat berkata, perkongsian pada program ini amat baik, terutama dalam menyedarkan betapa kita perlu menjauhi fitnah media sosial.

    “Justeru, pelajar perlu menggunakan teknologi dengan sebaik mungkin, bukannya menggunakannya untuk menghancurkan hidup orang lain,” katanya.- Sinar Online

    Subjects:

  • No Comment to " Jangan Mudah Terpengaruh Dengan Fitnah Media Sosial "