• Jambatan Bernilai RM71.5 Juta Hubungkan Penduduk Dengan Dunia Luar

    Published: Tuesday, 12 September 2017
    A- A+

    Jambatan Katibas bernilai RM71.5 Juta di Song Kapit bakal memudahkan hubungan penduduk tempatan dengan dunia luar dan bukti kerajaan akan terus menaik taraf kawasan luar bandar.

    Memetik laporan Utusan Borneo, pembinaan jambatan sepanjang 330 meter yang telah siap pada Ahad lalu sekaligus dijadikan sebagai mercu tanda daerah Song.

    Menurut Tuai Rumah Gelok Riti dari Engkabau, Song berkata, jambatan tersebut akan memberi impak kepada rumah panjangnya dimana kawasannya juga akan dibina jalan raya.

    "Saya percaya kerajaan akan membangunkan serta menaik taraf jalan di kawasan kami.

    "Jika projek naik taraf jalan raya dilaksanakan, penduduk rumah panjang kami sepanjang 40 pintu akan menikmati pelbagai pembangunan," katanya

    Manakala, salah seorang penduduk Daerah Song, Nalong Rimba berharap pelaksanaan projek jalan raya harus dilaksana sejajar dengan pembinaan Jambatan Katibas.

    “Inilah pembangunan yang kami mahu iaitu jalan raya. Sebagai penduduk luar bandar tiada pembangunan lain sepenting jalan raya kerana dengan adanya jalan raya segala pembangunan lain akan dapat masuk atau disalurkan.

    “Kita berharap kerajaan dengan secepat mungkin berfikir akan nasib kami serta membina jalan raya sejajar dengan siapnya Jambatan Katibas ini,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi berkata kementeriannya bercadang untuk menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi merasmikan projek Jambatan Katibas ini. - Sarawakiana
  • No Comment to " Jambatan Bernilai RM71.5 Juta Hubungkan Penduduk Dengan Dunia Luar "