• Isu Rohingya : Myanmar Sengaja Cipta Propaganda

    Published: Tuesday, 5 September 2017
    A- A+

    SHAH ALAM - Tuduhan-tuduhan ‘pelik’ terhadap Muslim Rohingya melalui media internet adalah propaganda politik kerajaan Myanmar untuk menghalalkan kekejaman terhadap etnik itu.

    Pengarah PasRelief, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setelah bertahun-tahun cuba memadamkan sejarah Islam di Arakan dan kaitannya dengan Muslim Rohingya, kini muncul pula usaha mewajarkan etnik minoriti itu dibunuh dan dihapuskan.

    “Mata wang kurun ke 16, dan lukisan-lukisan sejarah kesultanan kerajaan Islam Arakan adalah petunjuk bahawa Arakan telah diperintah oleh kerajaan Islam sejak kurun ke-14 (1345M) sehingga kurun ke-18 (1784M).

    “Islam diterima meluas di Arakan sejak kurun ke-9 (877M) sewaktu pemerintahan Khalifah Harun Al-Rashid. Satu-satunya bangsa di dunia yang 100 peratus menganut Islam adalah etnik Rohingya di Arakan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

    Beliau berkata, terdapat usaha memadamkan sejarah itu apabila media di Burma tidak menggunakan istilah ‘Rohingya’ malah menamakan etnik ini sebagai kaum Benggal.

    “Nama Arakan di tukar kepada Rakhine dan ibu negerinya Akyab dinamakan Sittwe.

    ”Masjid berusia ratusan tahun dan premis perniagaan orang Islam dibakar, ditutup dan dirampas. Orang Islam tidak boleh berada di mana-mana bahagian Sittwe.

    Katanya, tindakan sesetengah pihak yang mendakwa Rohingya pendatang di Myanmar dan mereka diseksa kerana berkelakuan buruk dianggap buta sejarah.

    “Terdapat tiga pihak yang sedang membunuh, mengusir dan membakar kampung-kampung Muslim Rohingya antaranya, Junta tentera kerajaan, Arakan Army iaitu sayap bersenjata parti politik etnik Rakhine dan sami Buddha dari Gerakan 969 pimpinan Ashin Wirathu.

    “Jika Rohingya adalah pendatang haram, kenapa urusan pendatang haram menjadi urusan Arakan Army dan Gerakan 969 Ashin Wirathu. Bagaimana etnik yang mendiami Arakan sejak seribu tahun dikatakan berasal dari sebuah negara lain yang hanya wujud pada 1971,” katanya. - SinarHarian

    Subjects:

  • No Comment to " Isu Rohingya : Myanmar Sengaja Cipta Propaganda "