• Insiden Mabuk Tidak Jejaskan Rooney Hadapi Spurs

    Published: Friday, 8 September 2017
    A- A+

    LIVERPOOL: Pengurus Everton, Ronald Koeman mengesahkan penyerang, Wayne Rooney akan diturunkan menentang Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malam esok di sebalik dakwaan dikenakan ke atas pemain itu yang memandu dalam keadaan mabuk.

    Rooney ditahan minggu lalu dan akan menghadiri sesi pendengaran mahkamah pada 18 September ini selepas dibebaskan dengan ikat jamin susulan insiden berkenaan.

    Penyerang berusia 31 tahun itu menjaringkan dua gol dalam tiga aksi liga untuk Everton selepas kembali menyertai kelab zaman remajanya itu daripada Manchester United pada musim panas lalu.

    Koeman tidak mampu membawa seorang lagi pemain penyerang sebelum pintu perpindahan ditutup dan akan terus mempertaruhkan kepercayaan kepada Rooney biarpun berdepan masalah di luar padang.

    Pengendali dari Belanda itu membaca kenyataan yang disiapkan berhubung Rooney pada sidang media dan mendedahkan bekas kapten England berkenaan mungkin akan dikenakan tindakan disiplin oleh Everton.

    "Sudah pasti saya kecewa dengan situasi membabitkan Wayne Rooney. Kami sudah bercakap Selasa lalu dan pengerusi kelab bercakap dengan Rooney mengenai situasi ini.

    "Sebarang tindakan disiplin akan dikendalikan oleh kelab pada masa yang sesuai dan itu saja yang boleh saya katakan. Itu saja mengenai kes Rooney," kata Koeman.

    Koeman mengatakan 'ya' ketika ditanya sama ada Rooney akan diturunkan menentang Spurs di Goodison Park dan tidak fikir insiden berkenaan akan menjejaskan prestasinya. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Insiden Mabuk Tidak Jejaskan Rooney Hadapi Spurs "