• Ingat Sekadar Rumah Urut, Rupanya...

    Published: Sunday, 17 September 2017
    A- A+

    Jabatam Imigresen Malaysia (JIM) akan berbincang dengan kementerian berkaitan masalah premis haram yang menawarkan perkhidmatan maksiat tanpa lesen perniagaan sah.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, JIM mendapati banyak premis menawarkan perkhidmatan seks, berselindung di sebalik rumah urut atau spa, namun pemeriksaan mendapati ia tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

    "Dalam Ops Gegar di dua premis rumah urut dan spa sekitar Masai dan Permas Jaya 9.30 malam tadi, kami menahan 53 individu termasuk 40 wanita pelbagai warganegara yang dipercayai menawarkan khidmat seks.

    "Baki individu yang ditahan adalah lelaki tempatan yang bertugas sebagai penjaga premis berkenaan.

    "Semua wanita warganegara Indonesia, Thailand dan Vietnam berusia antara 25 hingga 40-an itu ditahan bagi membantu siasatan.

    "Semua tahanan disiasat mengikut Seksyen 51 (5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta sama atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen perjalanan sah, salah guna permit dan permit tamat tempoh," katanya ketika ditemui di pejabat Kementerian Dalam Negeri Taman Setia Tropika, Johor Bahru, malam tadi.

    Menurutnya, lelaki tempatan disiasat mengikut mengikut Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi semua wanita berkenaan.

    Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya percaya premis itu beroperasi sejak beberapa tahun lalu serta turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan kemudahan lain.

    "Kami hairan bagaimana premis ini beroperasi begitu lama sedangkan ia tiada lesen perniagaan sah.

    "Berikutan itu, kami akan berbincang dengan kementerian berkaitan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan premis haram ini tidak dapat beroperasi," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ingat Sekadar Rumah Urut, Rupanya... "