• India lancar projek kereta api peluru pertama

    Published: Friday, 15 September 2017
    A- A+


    AHMEDABAD: Projek kereta api peluru pertama di India, satu inisiatif bernilai AS$19 bilion (RM85.5 bilion) yang menghubungkan Ahmedabad dengan Mumbai, dilancarkan semalam ketika Perdana Menteri India Narendra Modi dan rakan sejawatan dari Jepun Shinzo Abe memuji hubungan yang semakin pesat berkembang di antara dua demokrasi terbesar di Asia.

    Projek itu dilihat sebagai lambang bagi hubungan makin mesra antara New Delhi dan Tokyo, yang mahu mengimbangi pengaruh China yang semakin berkembang di rantau ini.

    Penghubungan kelajuan tinggi itu, yang akan meng-gunakan teknologi Jepun untuk menghubungkan kota utama di negeri asal Modi dengan ibu kota kewangan India, dijadual siap pada Disember 2023.

    “Saya berharap untuk menikmati keindahan India menerusi tingkap kereta api peluru bersama Modi di sisi saya apabila saya datang ke India dalam masa beberapa tahun akan datang,” kata Abe pada majlis di Ahmedabad.

    “Ia menandakan permulaan lembaran baharu dalam hubungan antara India dengan Jepun,” tambahnya.

    “Hubungan India-Jepun bukan sekadar mengenai dagangan dua hala. Ia sudah berkembang menjadi satu perkongsian strategik dan global di rantau India-Pasifik,” kata Abe.

    Lawatannya diadakan sejurus selepas ketegangan sempadan di antara India dengan China dalam sebuah kawasan Himalaya yang menjadi re-butan dan strategik.

    Laporan media tempatan berkata Jepun mungkin akan menjual pesawat amfibia (laut dan darat) ShinMaywa US-2 yang sudah diminati India sejak beberapa tahun lalu.

    Pesawat itu dijangka me-rangsang keupayaan maritim India.

    Modi menyambut Abe di lapangan terbang dengan pelukan tradisional yang erat sebelum perdana menteri Jepun dan isterinya mengenakan pakaian tradisional India.

    Jepun menyediakan 85 peratus daripada kos penghubungan kereta api itu dalam bentuk pinjaman. — AFP

    Subjects:

  • No Comment to " India lancar projek kereta api peluru pertama "