• Imigresen Bongkar Aktiviti `Kalungan Bunga’, ‘Cat Walk’

    Published: Wednesday, 27 September 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) keatas sebuah pusat hiburan kelab malam di Kepong awal pagi ini membongkar kegiatan tidak bermoral yang berlaku di premis hiburan tersebut.

    Anggota Imigresen yang terlibat dalam Ops Gegar itu mendapati pusat hiburan tersebut mengadakan aktiviti ‘kalungan bunga’ dan persembahan ‘cat walk’ melibatkan wanita warga asing di atas pentas untuk pelanggannya.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, bayaran yang dikenakan keatas pelanggan bagi kalungan bunga kepada wanita warga asing terbabit adalah sebanyak RM20, mahkota bernilai RM100 dan jubah bernilai RM688.

    “Pelanggan akan memberikan jubah tersebut sebagai ‘tips’ kepada perempuan-perempuan yang mereka pilih.

    “Pelanggan yang memberi jubah bernilai RM688.00 kepada perempuan-perempuan yang mereka pilih dan pelanggan dibenarkan membawa keluar wanita yang dihadiahkan jubah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Mustafar berkata, operasi itu bermula pukul 1 pagi hingga serbuan dijalankan kira-kira pukul 2.35 pagi membabitkan seramai 35 pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa.

    Menurut beliau, pihaknya menahan seramai 80 individu termasuk 54 wanita warga Thailand, lapan lelaki warga Thailand, empat ‘maknyah’ warga Thailand.

    Kata beliau, turut ditahan lapan wanita warga Laos, tiga lelaki warga Myanmmar, dua wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga Bangladesh.

    “Mereka disyaki bekerja sebagai pemain muzik, penari, penyanyi, pelayan pelanggan (GRO) dan juga pekerja premis itu sendiri,” katanya.

    Tambah beliau, turut ditahan tiga lelaki dan seorang wanita wargan Malaysia disyaki penyelia aktiviti tidak bermoral atau bapa ayam dan ibu ayam di premis tersebut.

    “Warga asing terbabit didapati memasuki Malaysia dengan hanya menggunakan Pas Lawatan Sosial bagi tempoh 30 hari dan menjalankan aktiviti-aktiviti tidak bermoral itu.

    “Kesemua mereka ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan. Siasatan dilakukan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. -MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Imigresen Bongkar Aktiviti `Kalungan Bunga’, ‘Cat Walk’ "